Sesi Perkongsian Ilmu mengenai El-Nino telah berlangsung dengan jayanya di Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 18 Ogos 2026 dan dipengerusikan oleh Ir. Yuslina binti Hj. Mohd Sani, Pengarah BPSP, KPKM.
Sesi ini telah diketuai oleh Ir. Dr. Ts. Gs. Safari Mat Desa, Timbalan Ketua Pengarah (menanggung kerja Ketua Pengarah) dan barisan Pengarah, Pegawai Penyelidik NAHRIM daripada Pusat Kajian/ Bahagian/ Makmal.
Perkongsian ilmu mengenai El-Nino telah disampaikan oleh Ir. Marini binti Mohamad Ideris, Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim (PKSA). Beliau telah berkongsi mengenai senario El-Nino, impaknya terhadap sumber air, serta unjuran perubahan iklim sehingga 2100.
Selain itu, pihak NAHRIM dan BPSP turut mengadakan perbincangan mengenai inisiatif guna-semula air sisa daripada pelepasan kawasan penanaman padi. Perbincangan tersebut mengetengahkan cadangan pembangunan Garis Panduan Guna Semula Air Sisa Pelepasan Penanaman Padi melalui kerjasama strategik antara NAHRIM dan BPSP, KPKM.
Sesi ini diharap dapat memperkukuh perkongsian kepakaran dan kerjasama antara NAHRIM dan BPSP dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim, memperkukuh pengurusan sumber air serta menyokong pembangunan sektor pertanian yang lebih mampan dan berdaya tahan.
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia




