Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), menerusi PUSAT KAJIAN Hidrogeologi telah mengadakan Mesyuarat secara hibrid bersama kumpulan pakar bagi Projek Putrajaya Lake and Wetland Management Plan (PLWMP) pada 18 Ogos 2026.
Mesyuarat ini bertujuan memberikan taklimat berkaitan pelaksanaan projek serta membincangkan cadangan pelaksanaan kajian, keperluan data dan pelaporan pertama bagi memastikan kajian dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.
Kajian ini melibatkan kepakaran daripada pelbagai bidang, termasuk pengurusan tasik dan tanah bencah, geologi dan kawasan tadahan, kualiti air, ekologi, hidrologi, komuniti dan pemegang taruh, perundangan dan dasar, perancangan bandar dan SDG, ekonomi, serta navigasi dan aktiviti rekreasi tasik.
Selaras dengan aspirasi untuk memperkasakan Tasik Putrajaya sebagai tapak rekreasi bertaraf antarabangsa, kajian ini turut memberikan tumpuan kepada peranan tasik tersebut sebagai kolam takungan air berskala bandar, pengawal atur suhu persekitaran, santuari ikan serta sumber air domestik yang berpotensi.
Tanah bencah pula memainkan peranan penting dalam mitigasi banjir, selain berfungsi sebagai habitat dan bank genetik flora dan fauna serta takungan karbon. Kajian ini turut memberikan perhatian kepada usaha memperkukuh fungsi Tasik Putrajaya dan tanah bencah sebagai ikon pelancongan Putrajaya.
Penglibatan komuniti dan pemegang taruh turut menjadi aspek penting dalam membentuk aspirasi dan hala tuju pengurusan Tasik Putrajaya dan tanah bencah secara mampan, menyeluruh dan bersepadu.
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir