Seramai 12 orang calon Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Frontier Fellowship dalam bidang Peralihan Hijau dan Peralihan Tenaga telah ditawarkan penempatan di Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM). Sebagai persediaan sebelum memulakan penempatan rasmi pada 9 November 2026, kesemua calon dijadualkan mengikuti program induksi bermula 3 hingga 6 November 2026 bagi memperoleh pendedahan awal mengenai fungsi, peranan, kepakaran serta bidang penyelidikan yang dilaksanakan di NAHRIM. Sehubungan itu, Pusat Kajian Kualiti Air dan Alam Sekitar (PKKAAS) telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sesi pengenalan selama 2 jam pada 5 November 2026, bermula pukul 3.00 petang.
Sesi dimulakan dengan ucapan aluan Pengarah PKKAAS dan disusuli dengan pembentangan mengenai profil, fungsi dan peranan PKKAAS, termasuk skop serta bidang penyelidikan yang diterajui oleh setiap unit. Pembentangan telah disampaikan oleh ketua-ketua unit di PKKAAS, iaitu ChM. Dr. Bashirah binti Mohd. Fazli, Ketua Unit Peningkatan Kualiti Air dan Teknologi Rawatan; Cik Ang Shin Ying, Ketua Unit Kualiti Persekitaran Air; dan Ts. Gs. Mohd. Fadhil bin Kasim, Ketua Unit Tasik dan Empangan. Sesi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat PKKAAS ini telah dipengerusikan oleh Pengarah PKKAAS, YBrs. Dr. Suriyani Awang, serta turut dihadiri oleh para penyelidik PKKAAS.
Program diteruskan dengan sesi penerangan dan demonstrasi peralatan serta instrument penyelidikan yang digunakan dalam pelaksanaan aktiviti penyelidikan PKKAAS. Para peserta kemudiannya dibawa melawat fasiliti penyelidikan kolam Hadiqotul Ma’ NAHRIM bagi memperoleh pendedahan secara langsung mengenai konsep, fungsi dan aplikasi sistem tanah bencah buatan (constructed wetland) dalam pengurusan dan peningkatan kualiti air. Sistem ini merupakan satu antara pendekatan penyelidikan berasaskan alam semulajadi yang memanfaatkan sumber air hujan serta mengitegrasikan penggunaan tumbuhan akuatik terpilih. Melalui proses fizikal, kimia dan biologi secara semula jadi, system ini berupaya membantu menyingkirkan, memerangkap serta mengurangkan kepekatan bahan pencemar dalam air, sekali gus menyokong usaha pengurusan sumber air yang lebih mampan dan mesra alam.
Secara keseluruhannya, sesi ini merupakan platform perkongsian ilmu dan pemindahan pengetahuan yang bertujuan memperkukuh kefahaman para peserta TVET mengenai fungsi, kepakaran dan bidang penyelidikan PKKAAS alam bidang pengurusan kualiti air dan kelestarian alam sekitar. Pendedahan secara teori dan praktikal yang diberikan diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan, mencetuskan minat terhadap penyelidikan dan inovasi serta menjadi asas yang bermanfaat kepada para peserta sepanjang menjalani program di NAHRIM
Disediakan Oleh: PKKAAS
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia






