Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah menyertai sambutan Microplastics Awareness Day (MAD) 2026 yang berlangsung di IMU University, Kuala Lumpur. Delegasi NAHRIM diketuai oleh Pengarah Makmal Kualiti Air, Gs. Khairul Anam bin Musa @ Mahmud, P.Geol., mewakili Ketua Pengarah NAHRIM. Program anjuran Leave a Nest Malaysia dengan kerjasama IMU University ini membawa tema “Our Water, Our Health, Microplastic”, yang menekankan kepentingan hubungan antara pencemaran mikroplastik, kelestarian sumber air dan kesihatan manusia.
Sambutan ini turut menampilkan sesi ucaptama oleh Ketua Pengarah NAHRIM, Ir. Ts. Gs. Dr. Safari bin Hj. Mat Desa, bertajuk “From Scientific Evidence to Strategic Action: Addressing Microplastics for a Sustainable Water Future” yang telah disampaikan oleh ChM Nor Salmi binti Abdullah. Sesi ini mengetengahkan kepentingan penggunaan bukti saintifik sebagai asas dalam merangka tindakan strategik bagi menangani isu pencemaran mikroplastik serta memastikan kelestarian sumber air untuk masa hadapan.
NAHRIM turut berpeluang menjayakan pameran berkaitan mikroplastik dan bahan cemar baharu yang diadakan sepanjang sambutan ini. Pameran tersebut menjadi platform perkongsian ilmu dan maklumat mengenai penyelidikan serta kepakaran NAHRIM dalam mengkaji isu pencemaran mikroplastik dan bahan cemar baharu, khususnya dalam sumber air.
Mikroplastik merupakan antara bahan cemar yang semakin mendapat perhatian kerana berpotensi menjejaskan ekosistem akuatik, kualiti sumber air dan kesihatan manusia. Sebagai institusi penyelidikan air kebangsaan, NAHRIM komited memperkukuh penyelidikan dan pemantauan berkaitan mikroplastik serta bahan cemar baharu bagi menyokong tindakan berasaskan bukti saintifik ke arah pengurusan sumber air yang lebih mampan, selamat dan lestari.
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia



