Pelabuhan Bintulu dari pemandangan udara.
23 Mei – Satu lawatan yang diketuai oleh Ketua Pengarah NAHRIM, Y. Brs. Ir. Hj. Ahmad Jamalluddin Bin Shaaban telah diadakan ke Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB), Sarawak pada 23 Mei 2013. Tujuan lawatan adalah bagi mendapatkan gambaran lebih dekat berkaitan dengan operasi Pelabuhan dan berbincang tentang masalah dan cabaran yang dihadapi pengendali dalam aspek hakisan dan mendapan di kawasan berhampiran serta membincangkan peluang kerjasama dua hala di antara LPB dan NAHRIM.
Lawatan ini juga merupakan salah satu siri lawatan dalam program NAHRIM untuk mempromosi perkhidmatan dan fasiliti penyelidikan Makmal Hidraulik dan Instrumentasi serta keupayaan Pusat-Pusat Kajian menangani masalah berkaitan dengan hakisan dan mendapan di persisiran pantai dan muara sungai, keberkesanan reka bentuk infrastruktur air serta operasi pelabuhan dan dermaga.
Lawatan ini turut disertai oleh Ir. Hj. Mohd Radzi Abdul Hamid, Pengarah Pusat Kajian Pantai (PKP), Ir. Dr. Nasehir Khan, Pengarah Pusat Kajian Sungai (PKS), Ir. Hj. Mohd Fauzi Mohamad, Pengarah Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI) serta Tn. Hj. Abdul Mubin Harun, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penilaian (BPP).
Program bermula dengan rombongan dibawa melalui darat ke kawasan Pelabuhan meninjau kemudahan-kemudahan pelabuhan yang terdapat di situ dan diikuti pula tinjauan dengan bot ke sekitar kawasan lembangan.
LPB diketuai oleh Ir. Mohd Zawawi Kifli, Pengurus Kejuruteraan, En Mohd Yoshikatriezan Abeng Pegawai Laut Kanan, Abdul Mutalib Faisal bin Lampong, Jurutera Mekanikal dan Cik Nur Rashiqah Bte Suhaili – Jurutera Elektrik. Rombongan telah dipersembahkan dengan tayangan video korporat LPB yang mengandungi maklumat berkenaan dengan sejarah penubuhan, misi, visi, objektif dan peranan Jabatan serta carta organisasi dan pengisian perjawatan.
Satu taklimat juga telah diberikan oleh pihak NAHRIM mengenai fungsi dan struktur pentadbiran NAHRIM serta fasiliti dan perkhidmatan di MHI, bidang kepakaran dalam penyelidikan pantai dan pelabuhan serta muara sungai juga telah dipersembahkan secara ringkas oleh Pengarah MHI, Pengarah PKP dan Pengarah PKS.
Hasil perbincangan lanjutan, LPB merasakan penglibatan pihak NAHRIM mungkin boleh diusahakan dalam pelan pembangunan Pelabuhan Bintulu di masa hadapan, terutama berkaitan pembesaran dermaga LNG dan kajian hidraulik berkaitan. Bidang berpotensi antara NAHRIM/Bintulu Port di masa akan datang adalah khidmat penyelidikan melalui pemodelan fizikal dan numerikal bagi projek pelabuhan serta penggunaan produk SMADRAT bagi kawalan pencemaran perairan berpunca dari sistem perparitan dan sungai berdekatan.
Pemandangan pemecah ombak baharu di utara pelabuhan
Ketua Pengarah NAHRIM sedang melangkah ke atas Tug Boat untuk melakukan lawatan.
Rombongan di atas Tug Boat semasa melakukan lawatan pelabuhan.
Pemandangan Dermaga Kargo, Pelabuhan Bintulu.
Pemandangan kapal sedang mengisi muatan kargo di Dermaga.
Pemandangan kapal sedang berlabuh dalam lembangan.
Kapal LNG sedang mengisi muatan di Dermaga LNG Pelabuhan Bintulu.
Rombongan NAHRIM bergambar bersama pegawai LPB.