Pegawai Pusat Kajian Hidrogeologi (PKH), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), telah melaksanakan lawatan tapak ke SMK Pitas II, Sabah, bagi menilai keadaan bekalan air sedia ada serta mengenal pasti potensi sumber air alternatif untuk kegunaan warga sekolah. Lawatan ini turut disertai oleh pegawai Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim (PKSA).
Sepanjang lawatan, beberapa aktiviti telah dijalankan, termasuk perbincangan teknikal bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah serta sesi perbincangan bersama Pengetua dan Yang Dipertua PIBG SMK Pitas II. Pemeriksaan sumber bekalan air dan persampelan air sungai di sekitar sekolah serta air telaga di Kampung Dangdun, Pitas, turut dilaksanakan bagi menyokong penilaian sumber bekalan air.
Aktiviti lapangan turut melibatkan pengukuran parameter kualiti air secara in-situ bagi mendapatkan maklumat awal keadaan fizikal dan kimia air, termasuk suhu, pH, kekonduksian elektrik (EC), jumlah pepejal terlarut (TDS) dan oksigen terlarut (DO). Sampel air yang dikumpulkan turut dihantar ke Makmal Kualiti Air (MKA), NAHRIM untuk analisis lanjut bagi menyokong penilaian kualiti air.
Penilaian awal memberi tumpuan kepada potensi pembangunan sumber air bawah tanah berdasarkan keadaan geologi dan hidrogeologi setempat, kesesuaian penggunaan air sungai melalui penambahbaikan sistem rawatan serta potensi pelaksanaan sistem penuaian air hujan (Rainwater Harvesting System) sebagai sumber bekalan air tambahan.
Hasil lawatan ini diharapkan dapat membantu mengenal pasti penyelesaian bekalan air yang lebih praktikal, mampan dan berdaya tahan bagi memenuhi keperluan warga SMK Pitas II.
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia






