Aktiviti persampelan air dan pemantauan turun naik aras air bawah tanah (groundwater fluctuation) telah dilaksanakan pada 25 Mei 2026 di telaga pemantauan NAHRIM sekitar Olak Lempit dan Paya Indah Wetlands bagi projek kerjasama antara Agensi Nuklear Malaysia dan NAHRIM di bawah program IAEA RAS7043: “Evaluating the Efficacy of Artificial Recharge to Groundwater in Water Scarce Regions using Isotope Techniques”. Objektif utama aktiviti ini adalah untuk menentukan status kualiti air bawah tanah serta menilai corak turun naik paras air bawah tanah mengikut perubahan musim, khususnya semasa musim hujan dan musim kemarau. Data yang diperoleh akan digunakan bagi menilai keberkesanan proses imbuhan semula air bawah tanah (artificial recharge) serta memahami tindak balas sistem akuifer terhadap perubahan hidrologi setempat.
Aktiviti ini melibatkan analisis kualiti air secara in-situ menggunakan peralatan Multiparameter Aqua TROLL 600, pemerolehan data paras air bawah tanah menggunakan Solinst Water Level Data Retriever, serta proses kompensasi dan pemprosesan data menggunakan perisian Solinst. Parameter yang direkodkan akan dijadikan data asas bagi tujuan pemantauan jangka panjang dan analisis perubahan kualiti serta kuantiti air bawah tanah di kawasan kajian. Seramai lapan ( orang pegawai telah terlibat dalam pelaksanaan aktiviti ini, terdiri daripada lima (5) orang wakil NAHRIM yang diketuai oleh Dr. Mohd Khairul Nizar Shamsuddin (Pegawai Penyelidik) serta tiga (3) orang wakil Agensi Nuklear Malaysia yang diketuai oleh Jeremy Andy Anak Dominic Daung (Pegawai Penyelidik). Aktiviti ini turut disertai oleh pegawai dan staf Pusat Kajian Hidrogeologi (PKH), iaitu Encik Anuar bin Sefie (Pegawai Penyelidik), Encik Syaiful Bahren bin Saadudin (Penolong Pegawai Penyelidik), Dr. Nur Anati binti Azmi (Penolong Pegawai Penyelidik) dan Cik Herda Misya binti Rusli (Pelatih Industri).
Kesemua pegawai dan staf PKH terlibat secara langsung dalam pelaksanaan kerja lapangan yang merangkumi aktiviti persampelan air bawah tanah, pengukuran dan pemantauan turun naik paras air bawah tanah, pengendalian peralatan in-situ seperti Multiparameter Aqua TROLL 600 dan Solinst Water Level Data Retriever, serta pelaksanaan proses pemprosesan, semakan dan pengesahan data pemantauan di lapangan. Kerjasama antara NAHRIM dan Agensi Nuklear Malaysia ini adalah selaras dengan usaha memperkukuhkan penyelidikan penggunaan Teknik isotop dalam penilaian sumber air bawah tanah serta menilai keberkesanan kaedah imbuhan semula akuifer bagi menyokong pengurusan sumber air yang mampan di Malaysia.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia




