Berita&Aktiviti

Perubahan iklim ancam penduduk pesisir pantai – Keratan Akhbar Berita Harian , 23 Februari 2022

Berita&Aktiviti

Kuala Lumpur: Penduduk yang tinggal di pesisir pantai berisiko diancam impak melampau perubahan iklim dalam tempoh 10 tahun akan datang jika langkah mitigasi terutama usaha menaik taraf ban pantai tidak dilaksanakan segera.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali, berkata kesan dan impak perubahan iklim menyebabkan kenaikan paras laut.

“Ini dapat dilihat dengan kejadian banjir pantai yang semakin ekstrem, paras air di jeti dan pelabuhan semakin tinggi, kejadian hakisan tebing pesisir pantai dan kerosakan struktur pantai seperti ban pantai runtuh,” katanya kepada BH.

Berikutan itu, beliau berkata dalam berdepan senario perubahan iklim yang menyebabkan keadaan cuaca ekstrem dan peningkatan paras laut, negara perlu membuat semakan semula reka bentuk binaan struktur kawalan banjir supaya ia lebih berdaya tahan.

 

Katanya, pendudukyang tinggal di pesisir pantai akan menghadapi risiko besar dalam tempoh 10 tahun lagi jika ban pantai tidak dinaik taraf dengan segera.

Mengulas lanjut, beliau berkata, adalah penting supaya dilaksanakan kerja menaiktaraf ban pantai bagi memastikan ia kukuh dan mampu berdepan dengan kesan kenaikan aras laut dan ombak yang kini dikesan boleh mencecah setinggi 2.5 meter.

 

“Ban pantai kita adalah pertahanan pertama untuk menghadapi kesan kenaikan paras laut, kita tidak boleh tunggu sehingga tahun 2050 (untuk menaik taraf infrastruktur). Kita perlu mula membina struktur yang mampu mengawal banjir.

“Kita khuatir ban pantai yang ada sekarang tidak boleh tampung (ombak), kita perlu reka bentuk ban pantai yang mempunyai ketahanan lebih kukuh bagi menghadapi fenomena alam lebih ekstrem termasuk hujan dan ribut.

“Sekarang ban pantai kita adalah tiga meter dari paras laut dan dalam tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang, berdasarkan faktor kenaikan aras laut dan angin, ia sudah tidak boleh mengekang ombak ketika ribut.

“Pembinaan ban ini perlu lebih tinggi daripada tiga meter kerana ketika ini saiz ombak setinggi 2.5 meter sudah boleh mengancam ketahanan ban dan menjejas penduduk pesisir pantai,” katanya kepada BH.

NAHRIM menjalankan penyelidikan kenaikan aras laut seawal tahun 2010, dan telah mengemaskini nilai unjuran kenaikan aras laut di Malaysia berdasarkan unjuran Laporan Penilaian 5 (AR5) Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC) pada 2017.

Nilai unjuran global kenaikan paras laut terkini adalah 0.73 meter berdasarkan nilai purata unjuran bagi beberapa stesen pemantauan yang menunjukkan kenaikan antara 0.52 meter hingga 0.98 meter pada tahun 2100.

Mengulas mengenainya, Nor Hisham berkata, meskipun nilai unjuran ini tidak begitu ketara, namun faktor lain seperti fenomena air pasang besar dan pusuan ombak akan memburukkan kesan kejadian banjir terutama di kawasan pesisir pantai yang lebih rendah dan tidak mempunyai pelindung.

Katanya, melalui penyelidikan dijalankan NAHRIM dan juga berdasarkan rekod terdahulu, jelas menunjukkan sedikit pertambahan aras laut berbanding beberapa tahun dahulu yang kesannya tidak dapat dilihat dari pandangan mata kasar.

“Namun, kesan dan impak kenaikan aras laut ini dapat dibuktikan dengan kejadian banjir pantai yang semakin ekstrem, paras air di jeti dan pelabuhan semakin tinggi, selain kejadian hakisan tebing pantai dan kerosakan struktur pantai seperti ban pantai runtuh,” katanya.

Nor Hisham berkata, kebanyakan ban pantai di pesisir pantai Malaysia telah berusia dan ada antaranya yang dibina pada tahun 1980-an dan 1990-an.

“Sekiranya tidak dinaiktaraf ban ini, maka kejadian limpahan air laut di kawasan kuala dan muara akan berlaku ketika air pasang besar yang disertai dengan angin kencang (ribut). Maka ia akan menyebabkan berlaku banjir pantai sekiranya ban tidak kukuh serta roboh dibadai ombak.

“Kewujudan pokok bakau juga penting sebagai pelindung semula jadi. Hutan paya bakau berupaya menjadi penahan ombak semula jadi sekali gus mengurangkan tenaga ombak yang boleh menyebabkan hakisan. Adalah penting untuk kita mengekalkan hutan paya bakau,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, adalah penting untuk ban pantai diiktiraf dan diklasifikasikan sebagai struktur yang kritikal seperti mana di negara luar seperti Belanda yang amat menitikberatkan pemantauan dan penyelenggaraan ban pantai agar tidak diganggu.

Nor Hisham juga menyarankan semua infrastruktur, bangunan dan penempatan penduduk di pesisir pantai disemak semula tahap risikonya bagi memastikan ia melepasi kawasan rizab yang diunjurkan berpotensi terhakis atau tenggelam sekiranya tiada struktur atau pelindung semula jadi.

Katanya, berdasarkan ketetapan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jarak zon penimbal bagi kawasan pantai berpasir adalah 60 meter dikira daripada garisan paras air pasang perbani.

 

Sumber berita :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/02/925983/perubahan-iklim-ancam-penduduk-pesisir-pantai?fbclid=IwAR2w87qneYRxfaZ5kcz6o9KfqdvV9Y7odmVeaaesyI8z6bhW_bo0a6BUDBc

profile penyelidikan
oacp