Pada 9 September 2021, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menjalankan kaedah penyelesaian fenomena banjir genang yang berlaku di Kampung Separap, Batu Pahat, Johor berdasarkan perbincangan dan keputusan dalam Mesyuarat Pengurusan Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) bertarikh 1 September 2021.
Kejadian banjir yang terjadi pada Disember 2021 adalah akibat dari kuantiti air hujan yang turun terlalu banyak sehingga menyebabkan banjir besar yang melibatkan negeri-negeri di Lembah Kelang terutamanya di Selangor dan Wilayah Persekutuan juga turut menyebabkan berlakunya fenomena banjir genang. Bencana banjir ini turut meliputi negeri-negeri di Kelantan, Pahang, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak. Rentetan daripada itu, pihak KASA melalui NAHRIM bertanggungjawab untuk membangunkan dan menjalankan inovasi ”water to evaporator and long range discharge system” sebagai salah satu kaedah penyelesaian masalah banjir genang dan mengurangkan risiko semasa banjir.
Objektif projek inovasi ini bertujuan melaksanakan kerja-kerja penyuraian banjir genang melalui pembangunan sistem evaporator yang lengkap dengan instrumen utama seperti pam air, set penjana tenaga, pemercik wap air, paip, pelantar beroda, jentera dan lain-lain kelengkapan yang berkaitan. Sistem evaporator ini mengubah air banjir genang daripada fasa air kepada fasa wap di mana pam air diperlukan untuk menghasilkan tekanan tinggi melalui muncung berongga (nozzle). Dapatan kajian menunjukkan muncung berongga jenis green garden adalah bersesuaian kerana saiz rongga yang kecil dan dapat menghasilkan semburan dalam bentuk cecair halus/wap dengan efektif. Faktor keberkesanan sistem evaporator juga bergantung terhadap cuaca atau suhu sekeliling, tiupan angin dan ketinggian semburan yang dilakukan.
Projek ini adalah inisiatif penting untuk dilaksanakan oleh KASA dan NAHRIM kerana bencana banjir genang ini telah menyebabkan satu tempoh lama di ambil untuk memastikan air surut sepenuhnya. Sistem evaporator yang melalui proses tekanan tinggi di dalam paip dapat mempercepatkan kadar penurunan aras banjir genang di lokasi kejadian. Di samping itu, kejadian banjir genang juga telah menyebabkan beberapa loji rawatan air mengalami kerosakan dan terpaksa dihentitugas yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada rakyat, secara tidak langsung sosial penduduk terganggu dan menjejaskan ternakan serta pertanian setempat.