7 APRIL 2026 | PERBINCANGAN BERSAMA PIHAK SURECHEM BERKENAAN PRODUK
PEMANTAUAN KUALITI AIR
Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) hari ini menerima kunjungan pihak syarikat SURECHEM bagi sesi pembentangan teknikal berkenaan produk pemantauan kualiti air.
Perbincangan ini dipengerusikan oleh YBrs Timbalan Ketua Pengarah NAHRIM, Ir. Ts. Gs. Dr. Safari bin Hj Mat Desa dan dihadiri oleh pegawai daripada Pusat Kajian Kualiti Air dan Alam
Sekitar dan Makmal Kualiti Air NAHRIM. Wimo Sonde adalah peranti pemantauan kualiti air jenis multiparameter sonde yang mampu mengukur pelbagai parameter seperti pH, oksigen terlarut, turbiditi, suhu, dan saliniti secara masa nyata. Peranti ini direka bentuk tahan lasak, boleh beroperasi sehingga kedalaman 200 meter, dan serasi dengan panel solar untuk operasi autonomi jangka panjang. Ia dilengkapi modul telemetri tanpa wayar (GSM/GPRS/LoRa) untuk penghantaran data ke pusat kawalan serta keupayaan menyimpan lebih 100,000 rekod data secara tempatan. Perbincangan tertumpu kepada kebolehtahanan alat untuk merekod data dalam jangka masa yang panjang, keupayaan integrasi alat Wimo Sonde dengan data fizikal ombak, pasang surut dan arus lautan serta penyelenggaran alat ini yang melibatkan kos yang paling efektif di kawasan terpencil yang tiada sistem pemantauan data.






