Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah menyertai Sesi Ke-16 Mesyuarat Antara Kerajaan IOC Sub-Commission for the Western Pacific (WESTPAC-XVI) yang berlangsung pada 10 hingga 12 November 2026 di Hangzhou, Republik Rakyat China.
Penyertaan Malaysia yang diwakili oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Akhir, Pro Naib Canselor UMT, dan YBrs. Dr. Suriyani binti Awang, Pengarah Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi (PKPO), NAHRIM merupakan platform penting untuk mengikuti perkembangan strategik dan memperkukuh kerjasama saintifik dalam bidang sains lautan, oseanografi dan pengurusan kawasan pesisir pantai di peringkat serantau.
Mesyuarat ini menghimpunkan wakil dari 22 negara anggota, institusi penyelidikan dan komuniti saintifik bagi membincangkan hala tuju serta keutamaan kerjasama sains lautan, termasuk aspek:
(i) Perancangan dan Pengurusan Lautan Secara Mampan (Sustainable Ocean Planning and Management);
(ii) Pelaksanaan United Nations Decade of Ocean Science for Sustainable Development;
(iii) Pemuliharaan biodiversiti marin dan inisiatif BBNJ;
(iv) Daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana berkaitan lautan;
(v) Pembangunan kapasiti, perkongsian data dan pemindahan teknologi; dan
(vi) Pengukuhan kerjasama penyelidikan marin antara negara anggota.
Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia turut menekankan keselarasan Strategi IOC bagi Perancangan dan Pengurusan Lautan Secara Mampan (2025 – 2030) dengan hala tuju pembangunan negara melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026 -2030 dan Malaysia Blue Economy Blueprint (MBEB) 2026 – 2040.
Penyertaan ini membuka ruang kepada NAHRIM untuk meneroka potensi kerjasama penyelidikan dan perkongsian kepakaran, khususnya dalam bidang cerapan dan pemantauan oseanografi, pemodelan hidrodinamik, pengurusan data marin serta adaptasi perubahan iklim di kawasan pesisir pantai.
Selain itu, perbincangan mengenai hala tuju WESTPAC bagi tempoh 2030 – 2037 turut memberi perspektif penting terhadap keperluan memperkukuh penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), sistem cerapan marin dan pendekatan penyelidikan berasaskan sains bagi menangani cabaran lautan pada masa hadapan.
NAHRIM komited untuk terus memperkukuh peranan sebagai institusi penyelidikan dan teknikal negara dalam menyokong pembangunan ilmu, inovasi serta kerjasama antarabangsa ke arah pengurusan sumber air, lautan dan kawasan pesisir pantai yang mampan dan berdaya tahan.
Disediakan Oleh: PKKAAS
#KerjasamaAntarabangsa #InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir #PenerajuPenyelidikanAir



