Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah menerima Lawatan Ilmiah daripada delegasi Program Diploma Teknologi Kejuruteraan Loji (Struktur Luar Pesisir), TVETMARA Kemaman bertempat di NAHRIM, Seri Kembangan. Lawatan ini melibatkan penyertaan seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada 36 orang pelajar dan dua orang tenaga pengajar pengiring.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan praktikal kepada para pelajar mengenai fasiliti dan kaedah pengujian model fizikal hidraulik di Makmal Hidraulik & Instrumentasi (MHI), khususnya yang berkaitan dengan kejuruteraan dan pengujian struktur pantai serta luar pesisir. Selain itu, delegasi turut dibawa melawat ke Makmal Kualiti Air (MKA) dan Inkubator Sistem Penuaian Air Hujan (iSPAH) bagi mendalami teknologi analisis kualiti air serta aplikasi kejuruteraan penuaian air hujan secara mampan.
Secara keseluruhannya, lawatan ilmiah ini berjaya menyuntik pendedahan industri yang bernilai dan memperkukuh pemahaman teknikal para pelajar TVETMARA dalam aplikasi kejuruteraan luar pesisir dan kelestarian sumber air. Jalinan kerjasama antara institusi penyelidikan kebangsaan dan institusi pendidikan teknikal seperti ini amat penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir serta jurutera masa hadapan yang berdaya saing tinggi.
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia






