9 Julai 2012 – NAHRIM telah menerima lawatan delegasi seramai 8 orang dari pelbagai suruhanjaya sumber air di bawah Kementerian Sumber Air (MWR), Republik China. Lawatan yang diketuai oleh En. Qian Min, Ketua Pengarah Suruhanjaya Sumber Air Sungai Huai (HRWC) telah disambut oleh YBrs. Ir. Hj. Ahmad Jamalluddin bin Shaaban, Ketua Pengarah NAHRIM bersama-sama pengarah bahagian dan pegawai-pegawai kanan.
Semasa lawatan berlangsung, delegasi MWR telah diperkenalkan dengan pengarah-pengarah bahagian dan pegawai-pegawai NAHRIM, ahli delegasi MWR juga berkesempatan memperkenalkan diri. Menurut En. Qian Min, di bawah Kementerian Sumber Air Republik China, terdapat tujuh agensi kerajaan yang menguruskan pentadbiran sungai dan lembangannya, antaranya HRWC, Suruhanjaya Sumber Air Changjiang, Suruhanjaya Konservasi Yellow River, Suruhanjaya Sumber Air Sg. Hai, Suruhanjaya Sumber Air Sg. Pearl, Suruhanjaya Sumber Air Sg. Songliao dan Lembaga Lembangan Taihu. HRWC yang beribu pejabat di Bengbu City, dipertanggungjawabkan mentadbir lembangan Sungai Huai sepanjang 1,100 km dan mengairi kawasan seluas 174,000 km² yang merangkumi beberapa bahagian iaitu Henan, Anhui, Jiangsu, Shandong dan wilayah Hubei.
Lawatan tersebut adalah merupakan satu pengiktirafan kepada NAHRIM sebagai institusi penyelidikan air yang semakin mendapat perhatian terutamanya dalam bidang penyelidikan impak perubahan iklim. Menurut En. Qian Min, penyelidikan perubahan iklim agak kurang diberi perhatian di China walaupun seluruh dunia termasuk China sedang menerima kesannya. Lawatan diakhiri dengan perbincangan ringkas mengenai penyelidikan perubahan iklim dan pengurusan sumber air di Malaysia dan kemungkinan kerjasama di antara kedua-dua organisasi.