Pada 10 dan 11 Julai 2012, pegawai-pegawai NAHRIM telah mengadakan satu lawatan ke Sibu dan Sessang untuk melihat secara dekat tapak untuk cadangan Kajian Pelepasan Gas Rumah Hijau dan Pengurusan Air di Tanah Gambut. Seramai lapan orang pegawai NAHRIM dengan diketuai oleh Pengarah Pusat Kajian Geohidrologi, Dr. Saim bin Suratman yang mewakili Ketua Pengarah NAHRIM telah menyertai lawatan tapak tersebut. Pegawai-pegawai yang telah menyertai lawatan tersebut adalah dari Pusat Kajian Sungai (PKS), Pusat Kajian Sumber Air (PKSA), Pusat Kajian Geohidrologi (PKG) dan Pusat Kajian Kualti Air dan Alam Sekitar (PKKAAS).
Lawatan tapak ini diadakan susulan daripada mesyuarat di antara NAHRIM dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 18 Mei 2012 di mana MPOB telah bersetuju untuk bekerjasama dengan NAHRIM dalam penyelidikan berkaitan pelepasan gas rumah hijau dan pengurusan air di kawasan tanah gambut. Tujuan utama lawatan tapak adalah untuk melihat secara jelas kawasan tanah gambut milik MPOB iaitu di Sessang dan Sibu dari segi kesesuaian dengan kajian yang akan dijalankan serta berkenalan dengan pegawai-pegawai MPOB bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan kajian pada masa-masa akan datang. Pihak MPOB telah diketuai oleh Dr. Hanif bin Harun, pegawai penyelidik kanan Unit Agronomi, Ibu Pejabat MPOB.
Program lawatan tapak dimulakan dengan sesi taklimat oleh pegawai penyelidik MPOB di pejabat Stesyen Penyelidikan MPOB Sessang pada sebelah pagi 10 Julai 2012. Pada sebelah petang, ahli-ahli lawatan telah dibawa melawat kawasan tanah gambut milik MPOB di Sessang yang terletak kira-kira 30 km dari pejabat MPOB. Semasa lawatan, pegawai penyelidik MPOB cawangan Sessang Pn. Farawahida bersama dengan Dr. Hanif telah menerangkan dengan lebih terperinci berkenaan tapak khususnya pengawalan air untuk keperluan tanaman kelapa sawit di sini.
Pada keesokan hari iaitu 11 Julai 2012, ahli lawatan telah dibawa pula untuk melihat kawasan tanah gambut milik Tradewinds Plantation Berhad iaitu ladang Pelitanah yang terletak di Sibu. MPOB dan Tradewind sedang bekerjasama dalam bidang penyelidikan pelepasan gas rumah hijau di sini. Berbanding dengan tapak yang pertama, tapak ini mempunyai kelebihan peralatan untuk tujuan pengumpulan data, antaranya peralatan untuk mengukur hujan, halaju angin, kelembapan, suhu, pelepasan gas karbon dan Methane. Selain itu kawasan ini turut dilengkapi dengan stuktur untuk mengawal kuantiti air seperti kolam takungan, sistem saliran, empangan dan senggat aras air. Pihak Tradewinds Plantation Berhad telah diketuai oleh Pengurus Wilayah Sibu iaitu En. Yong Swee Lai. NAHRIM ingin merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Ibu Pejabat MPOB, MPOB Cawangan Saratok serta Tradewinds Plantation Berhad di atas kerjasama dan layanan yang diberikan sepanjang lawatan berlangsung.