Delegasi Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi (PKPO) diketuai oleh Ir. Ts. Muhammad Rizal Razali telah menghadiri mesyuarat bagi Projek Transformasi Sistem Bekalan Air Bersih Menggunakan Kaedah Penyahgaraman Air Marin untuk Pos Keselamatan, Kawasan Luar Bandar dan Pulau Terpencil serta Komuniti, Sabah pada 11 Ogos 2026 bertempat di Pejabat Daerah Kudat, Sabah. Mesyuarat kali ini merupakan kesinambungan daripada sesi libat urus yang telah diadakan di Pulau Banggi pada 14 Julai 2026.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Daerah Banggi, Tuan Jaslee Jaafar dan dihadiri oleh wakil-wakil daripada pelbagai pihak berkepentingan serta komuniti. Antara yang terlibat adalah Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Jabatan Tadbir dan Ukur Tanah (JTU) Kudat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Perikanan (DOF) Kudat, Taman-taman Sabah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Bandaran Kudat (LBK) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).
Objektif mesyuarat adalah untuk memaklumkan pihak berkepentingan di Pulau Banggi berkenaan pelaksanaan projek serta sebagai platform mengumpul maklumat dan keperluan yang perlu dipatuhi daripada pemegang taruh berkaitan. Mesyuarat dimulakan dengan pengenalan profil NAHRIM sebagai sebuah agensi penyelidikan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang berfokus kepada bidang air dan persekitarannya dan selanjutnya pembentangan maklumat projek.
Hasil daripada perbincangan, secara prinsipnya Jabatan/Agensi yang terlibat menyokong penuh cadangan projek, namun mengesyorkan agar NAHRIM mengadakan sesi mesyuarat lanjutan bagi memuktamadkan lokasi projek. Mesyuarat berharap agar projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya demi menjamin kelangsungan bekalan sumber air bersih kepada komuniti di Pulau Banggi.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia


