Mesyuarat Penyelarasan Status Projek Sistem Bekalan Air Hibrid dan Projek Pembinaan Loji Penyahgaraman Air Marin telah berlangsung pada 20 November 2026 di Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2), Kem Kukusan, Tawau, Sabah.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Komander MK ATB 2, YBhg. Brigedier Jeneral Megat Maz Ardi bin Haji Nohuddin, bersama delegasi Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang diketuai oleh Ketua Pengarah, YBrs. Ir. Ts. Gs. Dr. Safari bin Hj. Mat Desa. Turut hadir ke mesyuarat adalah Puan Seetha Bhai a/p Kalimuthu daripada Bahagian Sumber Air (BSA), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), En. Noor Hisham bin Ab Ghani (Pengarah Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim), Ts. Dr. Zati binti Sharip (Pengarah Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi) serta pegawai penyelidik dari Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim, Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi serta Makmal Hidraulik dan Instrumentasi.
Objektif utama mesyuarat adalah untuk membincangkan isu-isu bagi penyelarasan status projek sistem bekalan air hibrid dan projek pembinaan loji penyahgaraman air marin yang dilaksanakan penyelidik NAHRIM.
Pihak MK ATB 2 menyambut baik inisiatif strategik ini dalam menjamin kelangsungan bekalan air bersih untuk kegunaan harian anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan Sabah. Kerjasama erat antara MK ATB 2, PETRA, NAHRIM dan pihak berkepentingan di peringkat negeri akan terus diperkukuh dari peringkat awal perancangan agar setiap projek yang dilaksanakan memberi manfaat maksimum kepada kesiapsiagaan dan kebajikan anggota.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir










