Satu lawatan teknikal ke Loji Rawatan Air Pulau Besar, Melaka telah berjaya dianjurkan. Lawatan strategik ini melibatkan penyertaan daripada delegasi Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli (BEASSA) Kementerian Ekonomi, Bahagian Bekalan Air (BSA) PETRA, wakil Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), serta para pegawai penyelidik dari Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).
Fokus utama lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan dan gambaran terkini kepada para pegawai mengenai proses rawatan air laut berskala kompak yang dibina di atas kawasan seluas 200 meter persegi bagi kegunaan penduduk pulau tersebut. Sepanjang lawatan, para peserta telah diberikan taklimat terperinci oleh pihak SAMB mengenai setiap peringkat operasi sistem rawatan yang menggunakan gabungan teknologi penapisan ultra (Ultrafiltration – UF) dan Osmosis Songsang Air Laut (Sea Water Reverse Osmosis – SWRO). Sesi interaktif turut diadakan bagi membolehkan para pegawai berbincang dan bertukar pandangan secara langsung dengan pihak SAMB serta pembekal produk, UNW M&E Sdn Bhd.
Secara keseluruhannya, lawatan teknikal ini menjadi platform penting bagi NAHRIM, PETRA, dan Kementerian Ekonomi dalam menerokai serta memperkukuh potensi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berkaitan teknologi penyahgaraman air (desalination). Input teknikal yang diperoleh ini amat bernilai dalam merangka strategi pemantapan infrastruktur bekalan air alternatif negara, selaras dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
#WaterInnovation #InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia






