YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dianugerahkan ‘Research Professorship’ dalam bidang alam sekitar oleh University of Seoul.
Malaysia-Korea Seminar on Healthy River Basin telah dianjurkan dengan jayanya di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 17-18 Februari 2016 dan dirasmikan oleh YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Seminar ini dianjurkan oleh Persatuan Konkrit Malaysia dengan kerjasama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan University of Seoul (UOS), Republic of Korea. Tema seminar pada kali ini adalah Penyelidikan Inovatif ke Arah Sumber Air yang Selamat, Berkualiti dan Lestari. Seminar ini telah dihadiri oleh beberapa orang delegasi dari Republic of Korea yang diketuai oleh Professor Dr. Won Yun-Hi, President of University of Seoul. Objektif penganjuran seminar ini adalah untuk menyediakan platform dan peluang kepada pihak kerajaan, universiti, sektor swasta dan pihak yang berkepentingan yang terlibat secara langsung dalam penyelidikan air di Malaysia dan Korea untuk berkongsi maklumat, kepakaran, pengalaman dan saling bertukar pendapat. Sebanyak 3 kertas ucaptama dan 12 kertas teknikal telah dibentangkan pada sesi seminar tersebut oleh pembentang dari kedua-dua negara. Seminar ini dihadiri oleh seramai 85 orang peserta yang terdiri daripada 25 peserta Korea dan 60 peserta dari Malaysia.
Semasa seminar tersebut YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah dianugerahkan ‘Research Professorship’ dalam bidang alam sekitar oleh University of Seoul atas usaha dan sumbangan YB Menteri menangani masalah jerebu yang berlaku pada Oktober 2015 yang melibatkan Malaysia, Indonesia dan Singapura.
YB Menteri juga telah melancarkan ‘Malaysia Korea Water Research Association’ yang ditubuhkan atas inisiatif NAHRIM dan University of Seoul bagi memberi ruang pada usaha sama pertukaran maklumat, kepakaran dan teknologi antara dua negara dalam bidang pengurusan lembangan sungai. Pada masa yang sama, NAHRIM juga telah mengambil peluang tersebut untuk pengkomersilkan dua produk inovasi yang telah dibangunkan iaitu NAHRIM Integrated Drainage System (NIDS) and NAHRIM Hydraulics Marker (NhM).
Majlis Perasmian Malaysia-Korea Seminar on Healthy River Basin dan pelancaran Malaysia Korea Water Research Association oleh YB Menteri NRE.
Majlis menandatangani Memorandum of Agreement untuk pengkomersilan produk inovasi NAHRIM Integrated Drainage System (NIDS) and NAHRIM Hydraulics Marker (NhM).
Jemputan Kehormat dan Peserta Malaysia-Korea Seminar on Healthy River Basin.