Kajian Ekosistem dan Sedimentasi Empangan Muda, Pedu dan Ahning.
Kajian Ekosistem dan Sedimentasi Empangan Muda, Pedu dan Ahning, Kedah telah dilaksanakan oleh NAHRIM bermula pada Jun 2021 untuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Objektif utama kajian ini adalah untuk menilai dan menentukan profil kualiti air dan status kesihatan ekosistem bagi Empangan Muda, Pedu dan Ahning termasuk kestabilan stratifikasi air terutama di Empangan Ahning, Kedah dan menentukan kadar sedimentasi empangan dari kawasan tadahan Empangan Muda dan Pedu, Kedah. Kajian ini diketuai oleh Pusat Kajian Kualiti Air dan Alam Sekitar NAHRIM dan dilaksana secara bersama dengan Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan iklim. Kajian melibatkan empat skop penilaian iaitu penilaian hidrologi dan takungan empangan, penilaian sedimentasi, penilaian kualiti air dan penilaian kesihatan ekosistem tasik.
Bagi tujuan penilaian takungan empangan, Pasukan NAHRIM telah melaksanakan kerja pengukuran batimetri untuk Empangan Muda dan Empangan Pedu. Kapasiti takungan empangan dan jangka hayat empangan dikira berdasar perbandingan dengan nilai rekabentuk asal empangan. Pengukuran kualiti air dan kesihatan ekosistem dibuat untuk kesemua empangan berdasar Piawai dan Kriteria Kebangsaan Kualiti Air Tasik dan indek trofik dan biodiversiti. Penilaian sedimentasi dari kawasan tadahan dilaksana menggunakan kaedah Revised Universal Soil Loss Equation (RUSLE) di mana perbandingan dibuat berdasar Rainfall/Runoff Erosivity Index (R factor), Cover Management Factor (C) dan Conservation Practice Factor (P) yang berbeza.