Kajian Awal dan Reka Bentuk Konsep Struktur Sabo , Yan, Kedah, Malaysia.
Kajian Awal dan Reka bentuk Konsep Struktur Sabo, Yan, Kedah, Malaysia merupakan kajian lanjutan daripada fenomena aliran puing yang telah berlaku di Gunung Jerai, Daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah pada 18 Ogos 2021. Insiden ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan kemudahan awam di sekitar kawasan Hutan Lipur berdekatan dengan Gunung Jerai. Justeru itu, satu pendekatan berstruktur secara holistik telah dicadang untuk dibina di Daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah bagi mengelakkan berulang kejadian aliran puing, mengawal aliran kayu-kayan, batuan dan sedimen, menstabilkan tebing dan cerun, pemuliharaan biodiversiti di samping menyelamat harta benda dan menjamin keselamatan nyawa orang awam. Untuk mendapatkan khidmat nasihat berkenaan reka bentuk struktur Sabo, NAHRIM telah berkerjasama dengan negara Jepun melalui Kedutaan Jepun, Universiti Tsukuba dan Japanese National Research Institute for Earth Science and Disaster Resilience. Lawatan tapak bersama Jabatan Mineral dan Geosains ( JMG), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Universiti Teknologi Malaysia -Malaysian-Japan International Institute of Technology (UTM-MJIIT) telah dijalankan untuk melihat kesan aliran puing dikawasan Titi Hayun, Tupah dan Seri Perigi (Rajah 1 dan Rajah 2). Kerja-kerja pengumpulan data seperti data hidrologi, dan data geomorfologi Gunung Jerai telah dijalankan untuk mereka bentuk konsep struktur Sabo yang bersesuaian Manakala, pemodelan numerikal Kanako 2D telah digunakan untuk memodelkan aliran debris (Rajah 3). Hasil daripada kajian ini akan menjadi asas dalam mereka bentuk dan membina strukur Sabo di Yan, Kedah.
