CAMERON HIGHLANDS: Sungai Bertam di sini menjadi perintis projek kelestarian tadahan sungai menggunakan sistem Intelligent River Guard (INTRiGUARD) yang dibangunkan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).
Program Kelestarian Tadahan Sungai Bertam membabitkan pemasangan tiang INTRiGUARD yang dapat menentukan garisan rizab sungai tidak bertanda dan mengetahui arah aliran sungai serta aras banjir dengan tepat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata sistem itu berperanan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan pencerobohan rizab sungai, selain memberi amaran awal banjir. Katanya, projek berkenaan membabitkan kerjasama antara NAHRIM, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.
Beliau berkata, sebanyak 2,000 tiang INTRiGUARD dengan kos RM8 juta akan dipasang di sepanjang Sungai Bertam dan anak sungai berkenaan dalam tempoh dua tahun ini.
“Sebagai permulaan, sebanyak 300 tiang berkenaan yang keseluruhan bernilai RM1 juta akan dipasang di Sungai Bertam. “Ini projek perintis dan kerajaan negeri berharap ia dapat diperluaskan ke Janda Baik kerana ada banyak aktiviti penanaman halia sah dan tidak memberi kesan kepada sumber air di situ,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kelestarian Tadahan Sungai Bertam di sini, hari ini.