Ucapan aluan oleh Ketua Pengarah NAHRIM, YBhg. Datuk Ir. Dr. Azuhan Mohamed, Ketua Pengarah NAHRIM sebelum pembentangan dimulakan.
12 September 2017, Mesyuarat pembentangan hasil kajian Integrasi Pengurusan Lembangan Tasik Sembrong Secara Lestari (ILBM) telah berjaya dibentangkan oleh NAHRIM yang diketuai oleh Ketua Pengarah, YBhg. Datuk Ir. Dr. Azuhan Mohamed. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha Kanan UPEN Johor, Encik Mohd Ekmaluddin Ishak, bertempat di Bilik Gerakan UPEN, Johor. Sejumlah 12 buah agensi kerajaan telah menghadiri mesyuarat ini.
Hasil kajian yang dilaksanakan oleh NAHRIM telah mengenalpasti lapan (8) cabaran utama dalam melaksanakan pengurusan tadahan lembangan Tasik Sembrong secara lestari. Antaranya adalah:
i. Tindakan segera diperlukan untuk mengurangkan bilangan populasi Cyanobacteria dan tumbuhan akuatik yang berleluasa dalam sumber air tasik, bagi memastikan sumber bekalan air minuman yang bersih dan sihat dibekalkan kepada pelanggan;
ii. Kawalan punca pencemaran dan hanya membenarkan aliran efluen terawat yang memenuhi piawaian kualiti air sahaja dibenar mengalir masuk ke dalam takungan tasik, ini kerana nutrien jasad air tasik sedia ada telah melebihi kapasiti penampungan tasik;
iii. Tahap kemerosotan kualiti air Tasik Sembrong yang serius memerlukan tindakan pemulihan dilaksanakan dengan kadar segera;
iv. Cabaran Tasik Sembrong sebagai kolam takungan banjir, di samping sumber bekalan air minuman domestik, bergabung dengan kesan pemanasan global telah menyebabkan sumber air Tasik Sembrong berada dalam keadaan terancam dari segi kualiti dan kuantiti sumber air tasik;
v. Kesan hakisan yang tinggi telah meningkatkan kadar pemendapan sedimen dan nutrien memasuki takungan air tasik, keadaan ini menyebabkan impak negatif kepada sumber air Tasik Sembrong;
vi. Peningkatan spesies ikan ‘invasive’ dalam tasik Sembrong telah mengganggu kestabilan sistem ekologi dalam tasik;
vii. Peluang peningkatan sosial ekonomi penduduk tempatan melalui pelbagai perkhidmatan rekreasi berlesen telah dikenal pasti melalui kajian ini;
viii. Rangka pengurusan Tadahan Tasik Sembrong antara pelbagai agensi kerajaan telah dikenal pasti dalam kajian ini.
Mesyuarat diakhiri dengan cadangan supaya pihak UPEN Johor mendapat pertimbangan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor supaya operator dan pengurus Tasik Sembrong menggunapakai hasil kajian ini untuk meningkatkan jaminan fungsi Tasik Sembrong yang efektif sebagai kolam takungan banjir, disamping dapat memenuhi sumber bekalan air minuman yang bersih dan selamat kepada penduduk di sekitar Batu Pahat.