13 Oktober 2026 | Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah mengadakan Mesyuarat Perbincangan Status Pelaksanaan Projek Transformasi Sistem Bekalan Air Bersih Menggunakan Kaedah Penyahgaraman Air Marin pada 13 Oktober 2026, bertempat di Wisma Gabungan, Kem Sri Kudat.
Mesyuarat ini dipengerusikan secara bersama oleh YBrs. Dr. Suriyani binti Awang, Pengarah Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi (PKPO), NAHRIM dan YBhg. Tuan Kolonel Mohammad Fauzi bin Abd. Rahman, Bahagian Tadbir dan Logistik, ESSCOM, serta dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) dan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).
Perbincangan memberi tumpuan kepada status pelaksanaan projek, penyelesaian isu-isu berbangkit serta pemuktamadan tapak bagi pembinaan Loji Penyahgaraman Air Marin untuk menyokong sistem bekalan air bersih di pos keselamatan, kawasan luar bandar dan pulau-pulau terpencil, khususnya Pulau Banggi dan Pulau Mabul, Sabah.
Projek ini merupakan salah satu inisiatif NAHRIM dalam meneroka dan mengaplikasikan teknologi penyahgaraman air marin sebagai alternatif sumber bekalan air bersih, khususnya di kawasan yang mempunyai kekangan dari segi sumber air konvensional. Pelaksanaan projek ini dijangka dapat menyokong keperluan bekalan air yang lebih mampan dan berterusan bagi anggota keselamatan yang bertugas di kawasan lapangan.
Pihak ESSCOM menyambut baik inisiatif dan kerjasama NAHRIM dalam memperkukuh sistem bekalan air bersih di kawasan operasi, selaras dengan keperluan memastikan kesejahteraan serta kelangsungan operasi anggota keselamatan di kawasan terpencil.
NAHRIM kekal komited dalam memanfaatkan kepakaran penyelidikan, inovasi dan teknologi air bagi menyokong penyelesaian isu bekalan air, khususnya di kawasan strategik dan berkeperluan tinggi, demi kesejahteraan komuniti serta petugas barisan hadapan negara.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir



