Sebagaimana polisi dan aspirasi NAHRIM untuk menjadi institut penyelidikan unggul di rantau ini, NAHRIM turut giat menjalankan aktiviti bagi mempromosikan kepakaran dan kemudahan yang ditawarkan kepada jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta yang berkepentingan dalam bidang sumber air dan alam sekitar.
Salah satu aktiviti promosi adalah lawatan yang telah diadakan pada 28 September 2012 ke Jabatan Bekalan Air, Putrajaya. Ketua Pengarah NAHRIM, Ir. Haji Ahmad Jamalluddin bin Shaaban bersama-sama Pengarah Bahagian Perancangan dan Penilaian, Tuan Haji Abdul Mubin Harun, Pengarah Pusat Kajian Geohidrologi, Dr. Hj. Saim Suratman, Pengarah Makmal Hidraulik dan Instrumentasi, Ir. Haji Mohd Fauzi Mohamad dan beberapa pegawai penyelidik kanan NAHRIM berpeluang mengikuti lawatan ke jabatan yang sememangnya dikenali pembekal utama air terawat Negara.
Program lawatan dimulakan dengan sesi pengenalan oleh Ir. Dr. Hasnul Mohamad Salleh, Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air diikuti dengan pembentangan mengenai fungsi dan projek yang sedang dijalankan oleh Jabatan Bekalan Air. NAHRIM juga turut membuat persembahan ringkas mengenai kemudahan makmal hidraulik dan kajian-kajian berkaitannya termasuk model fizikal dan kajian tasik. Perkongsian pengetahuan dan kolaborasi kajian penyelidikan yang berpotensi mengenai bidang air adalah antara topik perbincangan yang sangat bermakna dan bermanfaat diperolehi semasa lawatan ini.