Pusat Kajian Hidrogeologi (PKH), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah terlibat dalam pelaksanaan ujian pengepaman air bawah tanah di Projek Pertanian Moden (PPM), Kluang, Johor. Kajian ini bertujuan menilai prestasi telaga tiub sedia ada serta potensi sumber air bawah tanah untuk menyokong bekalan air bagi aktiviti pertanian dan penternakan.
Kerja lapangan melibatkan empat (4) telaga tiub, iaitu TW01, TW02, K3 dan K5, merangkumi ujian kalibrasi (Calibration Test), ujian pengepaman berperingkat (Step Drawdown Test), ujian pengepaman kadar tetap (Constant Discharge Test) dan ujian pemulihan aras air (Recovery Test). Kadar luahan, perubahan aras air bawah tanah dan tempoh pemulihan dipantau serta direkodkan bagi menilai prestasi hidraulik telaga dan tindak balas akuifer terhadap pengepaman.
Pemerhatian awal menunjukkan perbezaan corak penurunan dan pemulihan aras air antara telaga, yang memberikan petunjuk tentang variasi ciri hidraulik akuifer serta keupayaan pengeluaran air bawah tanah. Data ini akan dianalisis secara terperinci untuk menentukan kapasiti pengeluaran setiap telaga, parameter hidraulik akuifer dan kadar pengepaman optimum bagi operasi yang berterusan dan mampan.
Hasil kajian akan menjadi asas penyediaan cadangan teknikal untuk mengoptimumkan penggunaan telaga tiub, meningkatkan kecekapan sistem bekalan air serta menyokong pengurusan sumber air bawah tanah yang sistematik dan lestari bagi sektor pertanian dan penternakan di PPM Kluang.
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir
#NAHRIM #PETRA #MalaysiaMADANI #EkonomiMADANI
#RancakkanMADANI #BersamaMalaysiaku #MADANIBekerja






