NAHRIM melalui Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi (PKPO) dengan kerjasama Taman-Taman Sabah (Sabah Parks) telah melengkapkan kitaran pertama cerapan ombak dan arus di Perairan Laut Sulu, Sandakan. Operasi ini dijayakan oleh pasukan penyelam NAHRIM yang diketuai oleh Encik Ahmad Tarmizi Alwi bersama-sama empat (4) orang pegawai dengan bantuan penduduk tempatan. Pelaksanaan ini melibatkan litupan data selama hampir 10 bulan bermula November 2025 hingga Ogos 2026, sekali gus memperluaskan rangkaian pemantauan marin jangka panjang NAHRIM di perairan strategik Malaysia.
Penggunaan instrumen berketepatan tinggi Acoustic Wave and Current Profiler (AWAC) membolehkan parameter ombak dan arus direkod secara konsisten pada resolusi temporal yang tinggi. Tempoh pencerapan ini merangkumi fasa penting perubahan oseanografi termasuk Monsun Timur Laut, peralihan monsun dan Monsun Barat Daya, sekali gus menjadi asas utama dalam mengenal pasti variasi serta pola hidrodinamik di Laut Sulu.
Data strategik ini berfungsi sebagai input kritikal untuk kajian kenaikan aras laut, kejuruteraan pantai, keselamatan dan navigasi maritim serta pembangunan dan kalibrasi model hidrodinamik. Di samping itu, data arus beresolusi tinggi ini berpotensi menyokong keperluan International Hydrographic Organization (IHO) S-100/S-111 dan menjadi komponen teras dalam pembangunan Digital Twin Marin Malaysia.
Inisiatif ini merupakan langkah signifikan dalam membina siri masa oseanografi jangka panjang bagi perairan Sabah. Kesinambungan kitaran pencerapan seterusnya akan membolehkan NAHRIM membangunkan baseline saintifik yang semakin kukuh, mengenal pasti perubahan antara musim dan tahun serta meningkatkan kefahaman terhadap dinamika perairan Laut Sulu.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir






