Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah menerima Lawatan Pembelajaran sempena Bengkel Lanjutan Pembangunan Kompetensi Pembantu Makmal anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program yang bermula pada jam 2.00 petang ini telah dihadiri oleh seramai 24 orang peserta yang terdiri daripada 20 orang Pembantu Makmal serta empat orang urus setia dari KPM.
Lawatan ini berobjektif untuk meningkatkan kompetensi peserta dalam inovasi peralatan dan pelaksanaan eksperimen saintifik yang relevan dengan kurikulum sekolah menengah. Sepanjang sesi lawatan, para peserta telah diberi pendedahan praktikal serta perkongsian kepakaran mengenai pengurusan makmal standard tinggi, aspek keselamatan pengendalian bahan kimia dan biologi, tatacara penyelenggaraan peralatan saintifik, serta melihat demonstrasi ujian kualiti air di fasiliti makmal penyelidikan NAHRIM.
Secara keseluruhannya, program pemindahan ilmu ini menjadi platform sokongan yang bermakna antara agensi penyelidikan kebangsaan dan institusi pendidikan negara. Perkongsian amalan terbaik ini diharap dapat memantapkan kemahiran teknikal serta tahap profesionalisme pembantu makmal, sekali gus menyokong ekosistem pengajaran dan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang lebih selamat, cekap, dan berkesan di sekolah.
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia





