Berita&Aktiviti

KUNJUNGAN HORMAT MATRIX RESEARCH GROUP, UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) KE NAHRIM – 22 OKTOBER 2026

Berita&Aktiviti

KUNJUNGAN HORMAT MATRIX RESEARCH GROUP, UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) KE NAHRIM

Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah menerima kunjungan hormat daripada MATRIX Research Group, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) bertempat di Bilik Mesyuarat Makmal Hidraulik & Instrumentasi (MHI), NAHRIM. Pertemuan strategik yang berlangsung pada jam 9.00 pagi ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Encik Ismail bin Hj. Tawnie. Delegasi UUM terdiri daripada 7 orang ahli akademik iaitu Prof. Madya Dr. Muhammad Mat Yusof, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi, Dr. Fazillah Mohmad Kamal, Ts. Dr. Mohamad Huzaifah Mohd Dzubaidi, Dr. Norhayati Yusof, Dr. Mohammad Zukuwwan Zainol Abidin, dan Dr. Labiyana Hanif Ali.

Sesi pertemuan dimulakan dengan pembentangan korporat bagi memperkenalkan skop penyelidikan dan kepakaran utama kedua-dua belah pihak. Perbincangan kemudiannya tertumpu kepada penerokaan peluang kerjasama penyelidikan berasaskan sains data termaju, merangkumi analitik data, pemodelan matematik, serta visualisasi data dalam memperkasakan pengurusan sumber air negara. Sesi perbincangan interaktif dan soal jawab turut dijalankan bagi mengenal pasti potensi projek penyelidikan bersama yang strategik.

Secara keseluruhannya, kunjungan hormat ini membuka ruang kolaborasi yang kukuh antara agensi penyelidikan air kebangsaan dengan institusi pengajian tinggi tempatan. Sinergi antara kepakaran sains kuantitatif UUM dan sains air NAHRIM ini diharap dapat memacu pemanfaatan data analitis teragih bagi menyokong pembuat dasar, meningkatkan ketepatan ramalan, serta memantapkan pengurusan sumber air secara mampan dan berasaskan bukti.