Berita&Aktiviti

OPERASI PENGAMBILAN SEMULA PERALATAN UKUR OMBAK DAN ARUS (AWAC) DI PERAIRAN MUKAH DAN TALANG-TALANG, SARAWAK

Berita&Aktiviti

OPERASI PENGAMBILAN SEMULA PERALATAN UKUR OMBAK DAN ARUS (AWAC) DI PERAIRAN MUKAH DAN TALANG-TALANG, SARAWAK

Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) melalui Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi (PKPO) telah berjaya melaksanakan operasi pengambilan semula peralatan Acoustic Wave and Current Profiler (AWAC) bagi melengkapkan kitaran cerapan ombak dan arus di perairan Mukah, yang mewakili kawasan Zon Tengah Sarawak, dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC). Operasi kitaran keempat di perairan Pulau Talang-Talang, Zon Selatan Sarawak pula dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS).

Operasi ini dilaksanakan oleh pasukan penyelam NAHRIM yang diketuai oleh Encik Ahmad Tarmizi Alwi, bersama-sama empat orang pegawai serta dengan bantuan penduduk tempatan. Aktiviti pencerapan yang berlangsung selama hampir 10 bulan, bermula dari Disember 2025 hingga Oktober 2026, telah menghasilkan siri data oseanografi yang penting dalam memperkukuh rangkaian pemantauan marin jangka panjang NAHRIM di perairan strategik Malaysia.

Penggunaan instrumen berketepatan tinggi AWAC membolehkan parameter ombak dan arus direkod secara konsisten pada resolusi temporal yang tinggi. Tempoh pencerapan yang merangkumi Monsun Timur Laut, Monsun Peralihan dan Monsun Barat Daya ini menyediakan asas saintifik yang penting bagi mengenal pasti variasi bermusim serta memahami pola hidrodinamik perairan Sarawak.

Data yang diperoleh mempunyai nilai strategik dalam menyokong pelbagai keperluan penyelidikan dan teknikal, termasuk kajian kenaikan aras laut, kejuruteraan pantai, keselamatan dan navigasi maritim serta pembangunan dan kalibrasi model hidrodinamik. Data arus beresolusi tinggi yang dikumpulkan turut berpotensi menyokong keperluan standard International Hydrographic Organization (IHO) S-100/S-111, khususnya bagi aplikasi berkaitan maklumat arus marin, serta menyumbang kepada pembangunan Digital Twin Marin Malaysia.

Inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam membangunkan data siri masa oseanografi jangka panjang bagi perairan Sarawak. Kesinambungan program pencerapan secara berkala akan membolehkan NAHRIM membangunkan garis dasar saintifik (scientific baseline) yang lebih kukuh, menilai perubahan antara musim dan tahun serta meningkatkan kefahaman terhadap dinamik perairan Sarawak.

NAHRIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SFC, JPLS serta komuniti setempat atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam memastikan kelancaran operasi cerapan ini.

 

#NAHRIM

#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia

#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir

#KetuaPengarahNAHRIM

#PETRA

#MalaysiaMADANI

#EkonomiMADANI

#MADANIBekerja

#RancakkanMADANI

#BersamaMalaysiaku

#NAHRIMBekerja

#PenyelidikanDiperkasa

#RakyatSejahtera