PUTRAJAYA, 14 OKTOBER 2026: Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta (PV) di Bangunan-Bangunan Kerajaan yang berlangsung meriah di Wisma Putra, Putrajaya. Projek ini merupakan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam memperkasa agenda tenaga bersih dan meningkatkan kelestarian infrastruktur awam negara menuju era rendah karbon.
Majlis penyerahan projek ini telah disempurnakan secara bersama oleh YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya dan juga YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri. Turut hadir bersama ialah YBhg. Dato’ Ar. Ir. Azman bin Md. Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar).
Projek berimpak tinggi ini melibatkan lima (5) premis utama kerajaan yang kini telah berjaya disiapkan, iaitu di Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Kementerian Luar Negeri (KLN), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Projek strategik ini telah direalisasikan oleh JKR Malaysia melalui Cawangan Kejuruteraan Elektrik dengan kelulusan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi menerusi pihak SEDA Malaysia.
Sijil penyerahan projek siap bagi pihak NAHRIM telah diterima oleh En. Noor Hisham bin Ab. Ghani, Pengarah Makmal Kualiti Air (MKA) daripada pihak JKR. Delegasi NAHRIM yang turut hadir bagi menjayakan majlis ini termasuklah En. Zamri bin Othman, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), En. Muhammad Faiz bin Mohamad Jaafar, Pegawai Penyelidik, Makmal Hidraulik & Instrumentasi (MHI) dan En. Mohd Rizwandy bin Saleh, Penolong Jurutera, BKP (Unit Penyelenggaraan).
Pemasangan panel solar fotovolta di bumbung Blok A NAHRIM telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 29 Jun 2026 oleh kontraktor dilantik, iaitu CMC Engineering Sdn. Bhd., dengan kos keseluruhan bernilai RM899,990.48. Pelaksanaan projek solar ini bukan sahaja memperluas penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan mengurangkan kos kecekapan tenaga di premis kerajaan, malah menyokong penuh aspirasi pembangunan infrastruktur rendah karbon dan amalan teknologi hijau negara!
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir
#WismaPutra #SEDAMalaysia #JKRMalaysia
#TenagaBolehBaharu #SolarPV #TeknologiHijau
#NetZeroCarbon #InfrastrukturMampan
#MalaysiaMADANI #EkonomiMADANI
#RancakkanMADANI #BersamaMalaysiaku #MADANIBekerja



