Berita&Aktiviti

SESI KUNJUNGAN HORMAT DAN LAWATAN TEKNIKAL UNIT PERUNDING TENAGA LESTARI (UPTL) JKR MALAYSIA DI NAHRIM – 23 JUN 2026

Berita&Aktiviti

SESI KUNJUNGAN HORMAT DAN LAWATAN TEKNIKAL UNIT PERUNDING TENAGA LESTARI (UPTL) JKR MALAYSIA DI NAHRIM

KUALA LUMPUR – Satu sesi kunjungan hormat dan lawatan teknikal telah diadakan oleh Unit Perunding Tenaga Lestari (UPTL), Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ke Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

Kunjungan rasmi ini bertujuan untuk memperkukuh jalinan kerjasama strategik serta berkongsi kepakaran teknikal antara kedua-dua agensi kerajaan, khususnya dalam aspek aplikasi teknologi tenaga lestari.

Dalam sesi tersebut, delegasi UPTL CKE JKR telah disambut mesra oleh YBrs. Ir. Ts. Gs. Dr. Safari bin Hj. Mat Desa, Timbalan Ketua Pengarah (TKP) NAHRIM. Pertemuan dua hala ini menyaksikan perbincangan produktif mengenai hala tuju, peluang kolaborasi masa hadapan, serta pertukaran cenderahati sebagai simbolik keutuhan hubungan antara kedua-dua pihak.

Selain sesi perbincangan meja bulat, delegasi turut dibawa melawat ke tapak bagi meninjau serta melakukan pemeriksaan teknikal terhadap sistem solar fotovoltan (PV) yang dipasang di premis NAHRIM. Lawatan tapak ini merangkumi taklimat operasi dan pemantauan komponen kritikal sistem, termasuk unit inverter, bagi memastikan kecekapan tenaga berada pada tahap yang optimum.

Semoga jalinan kerjasama strategik ini berupaya memperkasakan lagi sinergi dua hala antara kedua-dua agensi dalam merealisasikan agenda tenaga lestari serta kelestarian sumber air negara secara holistik.