9 Mac 2026 | Wakil NAHRIM telah menghadiri satu mesyuarat strategik bersama Jabatan PERHILITAN dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertempat di Bilik Mesyuarat Belatok Pinang, Ibu Pejabat PERHILITAN.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Ady Ermanty Haniff, Pengarah Bahagian Rekreasi Alam Semula Jadi, ini bertujuan membincangkan perancangan dan penyelesaian isu bekalan sumber air di kawasan rekreasi dan ekopelancongan pergunungan.
Fokus utama perbincangan tertumpu kepada laluan pendakian popular di tiga lokasi ekopelancongan utama:
Gunung Tahan (Taman Negara Pahang)
Gunung Gagau (Taman Negara Terengganu)
Gunung Benom (Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal)
Bagi merungkai cabaran bekalan air di altitud tinggi, NAHRIM memainkan peranan penting sebagai pemberi nasihat teknikal untuk cadangan pelaksanaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) dan kemudahan rawatan air di tempat-tempat ekopelancongan berkenaan. Penilaian teknikal untuk sistem mampan ini dirancang untuk dilaksanakan di tapak-tapak perkhemahan strategik terpilih seperti Kem Kubang, Kem Gedung, Kem Pakchau, dan Permatang Angin.
Sinergi antara NAHRIM, PERHILITAN dan JPS ini adalah langkah proaktif bagi memastikan kelestarian alam semula jadi terpelihara sambil menjamin kemudahan bekalan air yang bersih dan selamat buat para pendaki serta petugas di lapangan.
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia


