Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi (PKPO) NAHRIM dengan kerjasama Unit Geologi Marin, Bahagian Perkhidmatan Teknikal (BPT), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah melaksanakan Kajian Angkutan Sedimen dan Profil Pantai di Pulau Sibu dan Pulau Pemanggil, Johor pada 10 hingga 16 September 2026.
Kajian ini dilaksanakan bagi mendapatkan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai dinamik pantai dan proses geobencana pantai, khususnya di kawasan yang terdedah kepada tindakan ombak dari laut lepas. Kajian memberi tumpuan kepada proses hakisan, pengangkutan dan pemendapan sedimen serta perubahan morfologi di sepanjang kawasan pesisir kedua-dua pulau.
Pasukan PKPO NAHRIM yang diketuai oleh Dr. Amri Md Shah telah menjalankan pengutipan data lapangan yang melibatkan aktiviti pencerapan batimetri (sehingga kedalaman -20 m MSL), pengukuran topografi (sehingga 100 m ke daratan dari gigi air), pengumpulan data melalui enam garis transek bagi setiap pulau, persampelan sedimen cekau dasar laut, dan pembangunan pangkalan data GIS profil pantai. Data yang dikumpulkan dari kawasan dasar laut hingga ke daratan ini akan menjadi asas penting dalam memahami hubungan antara ciri geologi, dinamik ombak dan arus, serta perubahan morfologi pantai di Pulau Sibu dan Pulau Pemanggil.
Selain kerja lapangan, pasukan PKPO turut terlibat dalam pembangunan pemodelan numerikal 2D Hidrodinamik (HD) dan Spectral Wave (SW) bagi membantu penghasilan peta spatial taburan dan pergerakan sedimen serta menilai perubahan morfologi pulau sebagai baseline bagi pemantauan pantai pada masa hadapan.
Pelaksanaan kajian ini mencerminkan komitmen NAHRIM dalam memperkukuh penyelidikan berasaskan data lapangan dan teknologi pemodelan, khususnya dalam bidang dinamik pantai, geobencana dan pengurusan kawasan pesisir secara lestari.
Kerjasama strategik antara NAHRIM dan JMG juga terus memperkukuh kepakaran teknikal serta menyokong pembangunan ilmu dan kapasiti negara dalam menangani cabaran berkaitan perubahan morfologi dan geobencana pesisir.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia #KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir





















