LANGKAWI, 17 September 2026 – Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah mengadakan sesi Transfer of Technology serta penyerahan rasmi laporan dan data Kajian Pemodelan Hidrodinamik Sampah Terapung di Perairan Langkawi kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), bertempat di Bilik Mesyuarat LADA.
Delegasi NAHRIM diketuai oleh Ts. Gs. Saiful Bahri bin Hamzah, Pengarah Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim, selaku Pengurus Projek. Sesi berkenaan dipengerusikan oleh LAr. Siti Norsuhada binti Che Man, Penolong Pengurus Kanan, Bahagian Perancangan, LADA.
Sesi ini telah disampaikan oleh pasukan kajian NAHRIM yang terdiri daripada Ts. Gs. Anizawati binti Ahmad, Ts. Gs. Wan Ahmad Hafiz bin Wan Mohamed Azhary dan Pn. Ikmalzatul binti Abdullah. Sesi ini menjadi platform perkongsian hasil kajian, pendekatan pemodelan serta pemindahan pengetahuan dan teknologi bagi menyokong pemahaman serta penggunaan dapatan kajian dalam perancangan dan pengurusan perairan Langkawi.
Isu sampah terapung merupakan antara cabaran alam sekitar yang perlu diberi perhatian dalam usaha memelihara kebersihan perairan, melindungi ekosistem marin serta mengekalkan imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. Sehubungan itu, pengurusan sampah terapung yang proaktif, berasaskan data dan bersasar adalah penting bagi menyokong kelestarian perairan Langkawi, termasuk pemeliharaan nilai semula jadi dan warisan Langkawi UNESCO Global Geopark.
Bagi menyokong keperluan tersebut, Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi (PKPO), NAHRIM telah dilantik oleh LADA untuk melaksanakan kajian pemodelan hidrodinamik sampah terapung di perairan Pulau Langkawi. Kajian ini menggunakan pendekatan pemodelan hidrodinamik dan penjejakan partikel (particle tracking) bagi mengenal pasti sumber berpotensi, taburan serta corak pergerakan sampah terapung di perairan Langkawi. Pendekatan pemodelan ini membolehkan trajektori pergerakan sampah terapung disimulasi berdasarkan keadaan hidrodinamik setempat, sekali gus memberikan gambaran saintifik mengenai potensi laluan pergerakan dan kawasan tumpuan sampah. Dapatan tersebut dapat menyokong perancangan langkah mitigasi dan pengurusan yang lebih strategik, bersasar serta berkesan.
Hasil kajian ini diharapkan dapat menjadi input saintifik dan sokongan teknikal kepada LADA dalam merangka strategi pengurusan sampah terapung serta perairan Langkawi yang lebih bersepadu dan mampan. Usaha ini turut menyokong pemeliharaan ekosistem marin dan alam sekitar, di samping memastikan kelestarian Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan kawasan geopark untuk generasi akan datang.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada LADA atas kepercayaan, komitmen serta kerjasama erat yang telah diberikan kepada NAHRIM sepanjang pelaksanaan kajian ini.
Daripada data kepada tindakan dan penyelidikan kepada penyelesaian, bersama-sama kita memelihara kelestarian perairan negara.
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir





