Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah dijemput oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka untuk menyampaikan pembentangan bertajuk “Garis Panduan (GP) Pemasangan Panel Solar Terapung di atas Takungan Air dan Tasik di Malaysia 2026” kepada Kerajaan Negeri Melaka serta agensi-agensi berkaitan. Sesi pembentangan tersebut telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Yusof bin Abu Bakar, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Melaka.
Pembentangan ini bertujuan untuk berkongsi hasil penyelidikan dan pendekatan teknikal yang menjadi asas kepada pembangunan GP tersebut bagi memastikan pelaksanaan projek solar terapung di kawasan takungan air dan tasik dijalankan secara terancang, dengan mengambil kira aspek teknikal, keselamatan, operasi serta kelestarian kualiti air dan ekosistem akuatik.
Sesi ini turut menjadi platform perkongsian kepakaran dan pertukaran pandangan antara NAHRIM, Kerajaan Negeri Melaka serta agensi-agensi berkepentingan, khususnya dalam mengimbangi keperluan pembangunan tenaga boleh baharu dengan usaha pemeliharaan sumber air, di samping memastikan fungsi utama takungan air sebagai sumber bekalan air terus terpelihara.
NAHRIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BKSA Melaka atas jemputan dan peluang kerjasama yang diberikan. Diharapkan perkongsian ini dapat memperkukuh kerjasama strategik antara pihak berkepentingan dalam menyokong pembangunan tenaga boleh baharu yang mampan, seiring dengan usaha memelihara kelestarian sumber air negara.
Disediakan Oleh: PKKAAS
#PembangunanMampan #InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia
#KementerianPeralihanTenagadanTransformasiAir #PenerajuPenyelidikanAir







