25 November 2025 | Mesyuarat Cadangan Penubuhan Unit Forensik Banjir Malaysia (FORBiM) telah diadakan pada 25 November 2025 di JPS Malaysia, Cyberjaya. Mesyuarat ini merupakan lanjutan kepada perbincangan awal pada 25 September 2025 berhubung cadangan NAHRIM untuk menubuhkan FORBiM sebagai tapak perintis.
Penubuhan FORBiM dicadangkan bagi memperkukuh keupayaan negara dalam menganalisis kejadian banjir secara saintifik, holistik dan berasaskan bukti. Unit ini dijangka berperanan sebagai pusat rujukan nasional bagi penyiasatan banjir, merangkumi pengenalpastian punca kejadian, penilaian impak serta menyokong pembangunan dasar dan intervensi pengurusan risiko banjir yang lebih berkesan.
Mesyuarat susulan ini dipengerusikan oleh Ir. Haji Mohd. Azmin bin Hussin, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Delegasi NAHRIM pula diketuai oleh YBhg. Dato’ Ir. Dr. Hj. Nasehir Khan E.M. Yahaya, Ketua Pengarah NAHRIM (menanggung tugas).
Kerjasama strategik antara JPS dan NAHRIM ini diharap dapat mempertingkat kesiapsiagaan negara dalam memahami, menyiasat dan menangani risiko banjir secara lebih komprehensif dan berimpak tinggi.







