NAHRIM melalui Pusat Kajian Kualiti Air dan Alam Sekitar (PKKAAS) telah mengadakan sesi libat urus bagi Kajian Penilaian Nilai Bersama Perkhidmatan Ekosistem Masyarakat (Participatory’s Ecosystem Services Shared Value Assessment- PESSVA) pada 10 Mac 2023 bertempat di USAS Resort Kuala Kangsar.
Sesi libat urus ini bertujuan untuk mendapatkan persepsi pihak berkepentingan terhadap nilai- nilai perkhidmatan ekosistem yang diberikan oleh sesuatu badan air. Persepsi ini amat penting untuk membantu mengenalpasti jurang dan nilai sesuatu perkhidmatan ekosistem yang boleh dikongsikan bagi meningkatkan kerjasama untuk pengurusan lembangan tasik.
Sesi ini telah dirasmikan oleh Ts. Hj. Zubaidi bin Johar, Pengarah Pusat Kajian Kualiti Air dan Alam Sekitar (PKKAAS). Program dimulakan dengan pembentangan oleh Dr. Zati Sharip, selaku ketua penyelidik mengenai pengenalan kepada kajian PESSVA diikuti taklimat hasil awalan survei yang telah dilaksanakan. Peserta juga diberi penerangan mengenai pengisian borang soal selidik PESSVA oleh Puan Hasina Mat Salim. Seramai 14 orang pegawai daripada pelbagai Jabatan, TNB serta Penghulu
Mukim yang menyertai sesi libat urus ini. Antaranya:
1. Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Kangsar/Hulu Perak
2. Jabatan Pertanian Negeri Perak
3. Jabatan Warisan Negara Zon Tengah
4. JKR Kuala Kangsar
5. Jabatan Perikanan Negeri Perak
6. Kraftangan Malaysia Cawangan Perak
7. Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak
8. Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar
9. Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar
10. Pejabat Penghulu Mukim Kota Lama Kanan
11. Pejabat Penghulu Mukim Kota Lama Kiri
12. Pejabat Penghulu Mukim Chegar Galah
13. TNB Stesen Janakusasa Chenderoh
Sesi libat urus bersama pihak berkepentingan yang diadakan ini telah berjaya membantu NAHRIM mengenalpasti isu berbangkit dan menentukan nilai bersama serta cadangan solusi terbaik untuk meningkatkan penyertaan komuniti/masyarakat di kawasan kajian dalam pengurusan perkhidmatan ekosistem badan air secara lebih lestari.