Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), dengan kerjasama Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC), telah menganjurkan “Program Komunikasi, Pendidikan, Penglibatan dan Kesedaran Awam (CEPA) Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) bagi Lembangan Sungai Klang di Universiti Malaya” yang melibatkan kakitangan Universiti Malaya.
Program ini merupakan sebahagian daripada Kajian Pelaksanaan CEPA bagi PRAB Fasa 2 (Pakej 1) di Lembangan Sungai Klang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang dijalankan selama dua tahun dari Mac 2025 hingga Februari 2027. Bagi tahun 2026, program telah berlangsung pada 20 Januari, dari pukul 8:30 pagi hingga 4:30 petang, bertempat di Jabatan Harta Benda dan Tasik Varsiti, Universiti Malaya. Aktiviti ini melibatkan penglibatan merentas jabatan di universiti termasuk Jabatan Harta Benda, Pusat Sukan, Polis Bantuan, Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan & Alam Sekitar (OSHEC), Pusat Pengurusan Risiko, Pusat Perubatan Universiti Malaya, My Rescue Team UM dibawah Pusat Kaunseling & Pemerkasaan OKU, Pusat Komunikasi Korporat serta Jabatan Teknologi Maklumat.
Bagi pihak Universiti Malaya, ucapan tahniah disampaikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia atas pembangunan sistem amaran banjir yang sistematik dan bersepadu melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) di bawah seliaan PRABN. Program ini merupakan inisiatif nasional yang bertujuan memperkukuh keupayaan negara dalam meramal kejadian banjir serta menyampaikan amaran awal yang tepat dan tepat pada masanya kepada agensi pengurusan bencana dan orang awam. Kefahaman terhadap sistem PRAB membolehkan masyarakat bertindak lebih awal, sama ada memindahkan barangan penting, meninggalkan kawasan berisiko, atau mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan. Kepercayaan terhadap amaran ini juga meningkatkan budaya kesiapsiagaan bencana, menjadikan masyarakat lebih proaktif dalam melindungi diri, keluarga dan komuniti.
Di Universiti Malaya, beberapa langkah telah diambil untuk meningkatkan kesiapsiagaan terhadap banjir. Antaranya termasuk pembangunan sistem amaran banjir dan siren banjir dengan kerjasama JPS, pelaksanaan kolam takungan air di Kolam Damansara, serta takungan air bawah tanah di Padang C dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Usaha-usaha ini menunjukkan komitmen universiti dalam pengurangan risiko bencana serta melindungi warga kampus dan komuniti sekeliling.
Program CEPA-PRAB 2026 menampilkan sesi perbentangan yang memberi fokus kepada pelbagai aspek pengurusan banjir. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Lestari UM, Prof. Madya Dr. Zeeda Fatimah Mohamad. Sesi pertama bertajuk “Banjir dan Universiti Malaya” dibentangkan oleh En. Affan Nasaruddin, Pegawai Penyelidik Pusat Pembangunan Lestari UM. Perbentangan kedua oleh En. Irwan Shahrill bin Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah PRABN, JPS, memperkenalkan Program Ramalan dan Amaran Banjir serta CEPA-KARIB. Perbentangan ketiga berjudul “Program CEPA-PRAB bagi Lembangan Sungai Klang di Universiti Malaya (Daripada Kesedaran kepada Tindakan: Komitmen Universiti Terhadap Kesiapsiagaan Banjir)” disampaikan oleh Ir. Ts. Mohamad Hazlami bin Abdul Hamid, Jurutera JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Perbentangan keempat, “Peranan Agensi Dalam Program Ramalan dan Amaran Banjir di Kuala Lumpur”, dibentangkan oleh Mejar (PA) Mohamad Aminullah bin Zulkafly dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kuala Lumpur. Sesi terakhir program disampaikan oleh Ts. Dr. Azlinda Saadon daripada Universiti Teknologi MARA, yang memperkenalkan aplikasi MyPublicInfoBanjir. Aplikasi ini merupakan sebuah platform yang menyediakan maklumat dan notifikasi masa nyata (real-time) berkaitan situasi hujan, paras air sungai serta amaran banjir di seluruh negara. Peserta diberi panduan bagaimana menggunakan aplikasi tersebut untuk memantau keadaan banjir, menerima amaran awal, dan membuat persediaan yang diperlukan bagi memastikan keselamatan diri, keluarga, dan komuniti masing-masing.
Peserta turut dibawa ke Siren Amaran Banjir berhampiran Pintu Masuk Kuala Lumpur, yang dipasang oleh JPS, untuk sesi lawatan dan demonstrasi. Dalam sesi ini, peserta diperkenalkan kepada cara siren berfungsi sebagai sistem amaran awal dan bagaimana ia diselaraskan dengan pusat kawalan PRAB bagi memberi notifikasi kepada orang awam ketika paras air meningkat atau situasi banjir berisiko. Demonstrasi ini membolehkan peserta memahami proses pengoperasian siren, pentingnya kesediaan awal, serta bagaimana masyarakat boleh bertindak segera berdasarkan amaran yang dikeluarkan.
Pada sebelah petang, satu sesi praktikal turut dijalankan di Tasik Varsiti, Universiti Malaya, yang melibatkan ‘Water Rescue’ dan ‘Water Confidence’, dikendalikan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kerjasama Pusat Sukan UM. Dalam sesi ini, peserta didedahkan dengan penggunaan peralatan penyelamatan air seperti ring buoy dan rescue throw bag, serta teknik asas menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam air. Sesi Water Confidence pula memberi peluang kepada peserta meningkatkan keyakinan diri ketika berada di persekitaran air, belajar mengekalkan keseimbangan dan kawalan diri dalam air, serta memahami cara mengatasi ketakutan dan panik semasa situasi kecemasan. Aktiviti ini bertujuan untuk membina kemahiran asas keselamatan air serta meningkatkan kesiapsiagaan individu sekiranya berlaku banjir atau insiden berkaitan air.
Program CEPA-PRAB 2026 membuktikan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, dan masyarakat dalam memperkukuh kesiapsiagaan banjir serta membentuk budaya keselamatan yang proaktif di Malaysia.
National Water Research Institute of Malaysia PRABN JPS Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia – JPS Polis Bantuan Universiti Malaya Centre for Counseling & Disability Empowerment, Universiti Malaya OSHEC Universiti Malaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pusat Sukan UM Universiti Malaya Medical Centre






































