Satu sesi pembentangan kemajuan semasa bagi Projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) antara Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah diadakan pada hari ini. Sesi yang bermula jam 10.00 pagi ini berlangsung di Bilik Mesyuarat Waterfall, Aras 3, Menara E, Ibu Pejabat Air Selangor, Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh barisan pegawai penyelidik NAHRIM serta pasukan teknikal Air Selangor.
Perbincangan ini memfokuskan kepada laporan kemajuan projek penyelidikan aplikasi teknologi sistem rawatan pirolisis yang dikenali sebagai NAHRIM Pyrolizer Treatment System (N’SPIRE). Inisiatif ini dilaksanakan bagi mengkaji pembangunan produk bernilai tinggi daripada hasil rawatan residu enapcemar loji rawatan air di Air Selangor, sekali gus bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan sisa pepejal dan meminimumkan impak pelupusan enapcemar terhadap alam sekitar.
Untuk rekod, teknologi N’SPIRE yang dibangunkan oleh NAHRIM ini menggunakan kaedah pirolisis, iaitu proses penguraian bahan melalui pemanasan pada suhu tinggi antara 300°C hingga 700°C tanpa kehadiran oksigen atau dalam persekitaran oksigen yang sangat terhad. Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua pihak dalam memacu inovasi teknologi hijau dan menyokong prinsip ekonomi kitaran (circular economy) dalam industri perkhidmatan air negara.
#InstitutPenyelidikanAirKebangsaanMalaysia



