Utusan: Kerjasama UMP-NAHRIM bidang hidraulik - Nov 2013
Kerjasama UMP-NAHRIM bidang hidraulik
Sumber: http://utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20131125/st_06/Kerjasama-UMP-NAHRIM-bidang-hidraulik

Penyelidikan dalam bidang kejuruteraan hidraulik, pantai serta pembangunan sumber dan kualiti aii diperkukuhkan lagi dengan termeterainya kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), baru-baru ini.
Naib Canselor UMP Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, kerjasama tersebut bersesuaian dengan bidang tujahan sumber alam sebagai salah satu cabang pengajian UMP.
Beliau berkata, adalah menjadi hasrat UMP untuk menjajarkan kewujudannya pada koordinat strategik yang memberi nilai tambah kepada bidang-bidang kepakaran dan kebitaraan yang dimiliki.
Oleh itu katanya, UMP amat menghargai inisiatif yang telah dirintis oleh Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Alam (CERRM) , UMP yang merupakan pusat kecemerlangan baharu di universiti terbabit dengan NAHRIM.
âSejajar dengan perubahan masa dan peredaran zaman, maka perhatian khusus diberikan terhadap pemerkasaan aktiviti penyelidikan melalui Pelan Strategik UMP 2011-2015.
"Oleh itu, penubuhan CERRM merupakan sebahagian daripada inisiatif yang telah dirintis bagi memperkasa kajian dalam bidang sumber alam oleh penyelidik universiti ini,â katanya.
Beliau menyatakan demikian majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan NAHRIM di Kuantan baru-baru ini.
Pada majlis tersebut UMP diwakili oleh Pengarah CERRM, Dr. Wan Mohd. Faizal Wan Ishak
NAHRIM oleh Ketua Pengarahnya, Ir Ahmad Jamalluddin Shaaban serta Pengarah Pusat Kajian Sungai, Dr. Ir. Nasehir Khan E.M. Yahaya.
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mashitah Mohd. Yusoff; Pengarah Pusat Kajian Geohidrologi NAHRIM, Dr. Saim Suratman; Pengarah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Zulkefli Yaacob dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam UMP , Fadzil Mat Yahaya.
Menurut Daing Nasir, melalui pemeteraian MoU ini, kedua-dua pihak akan merealisasikan inisiatif-inisiatif berkaitan empat bidang kerjasama berikut iaitu, penyediaan peluang dan tempat untuk menjalani latihan industri oleh NAHRIM kepada pelajar UMP dan berpeluang menjalani latihan sangkutan bagi staf UMP yang melibatkan semua kategori teknikal.
Hasil kerjasama tersebut mampu mengangkat keupayaan dan kepakaran UMP terhadap pembangunan pengajaran, penyelidikan dan perundingan dalam bidang kejuruteraan hidraulik, kejuruteraan pantai, pembangunan sumber air dan kualiti air di universiti dan negara amnya.
Selain itu, pengkhususan kajian dalam kejuruteraan hidraulik, kejuruteraan pantai, pembangunan sumber air dan kualiti air di UMP untuk pembelajaran yang sesuai dengan skop kepakaran NAHRIM serta pembangunan produk-produk inovasi secara kerjasama antara NAHRIM dan UMP.
Sementara itu menurut Ahmad Jamalluddin pihaknya kini menjalankan dua kajian penyelidikan dengan UMP melibatkan projek sistem penuaian air hujan (SPAH) di Rumah Panjang Bair Sarawak dan terbaharu projek membabitkan Sungai Melaka.
Katanya, NAHRIM berperanan membangunkan kumpulan pakar dan memberi khidmat penyelidikan dalam perancangan, reka bentuk, pembinaan dan kerja kejuruteraan berkaitan pembangunan sumber air dan alam sekitar serta mewujudkan Pusat Fokal Kebangsaan) yang menyelaras aktiviti penyelidikan dalam bidang hidraulik.
Dalam memastikan pembangunan negara yang mampan, NAHRIM digerakkan menerusi lima pusat kajian yang ditubuhkan melibatkan Pusat Kajian Pantai, Sungai, Sumber Air, Kualiti Air dan Geohidrologi serta dilengkapi dua makmal iaitu Hidraulik dan Instrumentasi dan Kualiti Air.
Majlis turut menyaksikan serahan replika cek geran penyelidikan yang disampaikan NAHRIM kepada UMP bagi menjalankan Kajian Sistem Rawatan Air Hujan di Rumah Panjang Bair Betong Sarawak.
Dalam majlis yang sama Daing Nasir juga menyampaikan watikah pelantikan kepada Ir. Ahmad Jamalluddin sebagai Profesor Tamu di universiti terbabit.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20131125/st_06/Kerjasama-UMP-NAHRIM-bidang-hidraulik#ixzz33T2WTPfj
© Utusan Melayu (M) Bhd