Cetak

BERNAMA: Sungai Klang Bakal Berubah Wajah Dan Dinaik Taraf Ke Kelas 2, Kata Douglas Uggah

on . Posted in Keratan Akhbar 2012

 
29 Mac, 2012 16:53 PM

Sungai Klang Bakal Berubah Wajah Dan Dinaik Taraf Ke Kelas 2, Kata Douglas Uggah

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kini sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan di Sungai Klang di sini bagi mencapai sasaran status kualiti air sungai Kelas 2, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Katanya antara tindakan yang dibuat kementerian dalam kerja pembersihan itu ialah pemasangan kira-kira 300 perangkap sampah dan melakukan kajian terhadap kualiti air Sungai Kelang dari masa ke semasa

Ia juga merupakan sebahagian daripada projek 'River of Life', sebuah projek permulaan yang dikenal pasti dalam Bidang Ekonomi Utama Greater Kuala Lumpur di bawah Program Transformasi Kerajaan, katanya.

"Status Sungai Klang kini adalah Kelas 3 maka itu kementerian meminta semua pihak tidak membuang sampah dan sisa-sisa pepejal ke dalam sungai itu kerana ia akan mencemarkan lagi kualiti sungai berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Makmal Kualiti Air dan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di NAHRIM di sini, Khamis.

Sumber: http://www.bernama.com.my/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=655713

-- BERNAMA