red green blue contrast reset

facebook twitter instagram youtube rss

perutusan bm34 produk bm perisian bm
penyelidik bm awam bm warga bm aplikasimobil bm aplikasionline bm

Cetak

COVID-19 : Kajian sistem kumbahan boleh bantu kenal pasti kawasan berisiko. BH Online. 22 April 2020.

on . Posted in Keratan Akhbar 2020

COVID-19 : Kajian sistem kumbahan boleh bantu kenal pasti kawasan berisiko

KUALA LUMPUR : Ramai penyelidik di peringkat antarabangsa sudah mula mengkaji sekiranya air kumbahan dalam sistem pembentungan boleh menjadi ‘amaran awal’ untuk virus pandemik COVID-19 kembali ke dalam komuniti. Malaysia sendiri melalui Kementerian Alam Sekitar Dan Air mengambil pendekatan proaktif untuk menjalankan kajian mengenai risiko COVID-19, sama ada ia boleh merebak melalui kaedah itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, baru-baru ini kajian itu perlu dilakukan segera kerana terdapat laporan daripada Institut Nasional Kesihatan Awan dan Alam Sekitar (RVIM) di Belanda menunjukkan, bahan genetik virus corona yang menyebabkan penyakit COVID-19 ditemui dalam sistem kumbahan di Belanda. Sehingga kin,i masih banyak yang tidak diketahui mengenai virus “severe acute respiratory syndrome coronavirus 2” (SARS-CoV-2) yang menyebabkan wabak COVID-19. Ini membuatkan ramai pakar mengkaji dalam pelbagai aspek, termasuk potensi pendedahan virus ini terhadap kumbahan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim memberitahu Bernama, kajian yang dilakukan oleh Kementerian Alam Sekitar melalui Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia, boleh dijadikan penunjuk jangkitan COVID-19, terutama bagi kes asimptomatik atau tanpa gejala. Katanya, perkara penting dalam kajian itu haruslah melihat kandungan mikrob dalam kumbahan untuk mengetahui sama ada sesuatu kawasan perumahan, mungkin ada penghidap COVID-19 tetapi tidak disaring.

“NAHRIM, agensi kerajaan yang menjadi badan penyelidik berkaitan dengan hidrologi boleh membantu membuat persampelan air kumbahan untuk memantau kehadiran virus penyakit COVID-19 terutama di kawasan berisiko. “Dengan cara ini boleh membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lokasi yang terdapat virus untuk melakukan saringan kepada penduduk di kawasan tersebut,” katanya Asid ribonukleik (RNA) virus SARS-CoV-2 boleh diketahui kehadirannya melalui najis. Dengan cara ini katanya, akan dapat menyokong data Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan pesakit mana yang positif atau negatif.

Nazlina yang juga pakar dalam bidang mikrob dan virus, berkata virus dalam air kumbahan tidak akan menjangkiti orang lain kerana air kumbahan mempunyai bahan daripada najis atau mikrob lain yang akan merosakkan sampel luaran virus. Malah, katanya ada juga RNA yang akan memecahkan bahan genetik virus. “Dalam air kumbahan juga tiada sel yang boleh virus itu menjangkiti. Oleh sebab itu memang tiada peluang virus penyakit COVID-19 untuk kekal utuh bagi membolehkannya menjangkiti orang lain.

“Sebab itu saya mencadangkan agar kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air memberi fokus untuk membuat persampelan air kumbahan bagi memantau kehadiran COVID-19 bukannya menjalankan kajian untuk mengkaji kehadiran bahan genetik virus di dalam kumbahan,” katanya. Sementara itu, Water Enviroment Federation (WEF) dalam satu kenyataan, menyatakan tidak ada bukti saintifik mengenai kebolehhidupan virus penyebab penyakit COVID-19 dalam sistem air kumbahan.

Ini turut dipersetujui Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak Beliau berkata, kajian air sisa kumbahan di Belanda itu lebih kepada untuk melihat sejauh mana tebaran jangkitan COVID-19 dalam komuniti. Ini berdasarkan, sebilangan kecil pesakit COVID-19 mempunyai virus corona pada saluran sistem penghadaman yang akan dikumuh sebagai najis.

“Dapatan kajian itu juga masih di peringkat awal kerana penyelidik berkenaan masih perlu mengenal pasti identiti RNA di dalam sisa kumbahan dan kemudian menganggarkan bilangan orang yang dijangkiti di dalam komuniti berdasarkan kepekatan RNA itu,” katanya. Jelasanya, teknik ini masih perlu diuji untuk pengesahan oleh lebih banyak makmal dan penyelidik sebelum dapatan kajian diterima pakai. Mohd Yusoff berkata, masih terdapat banyak persoalan mengenai dapatan kajian kumbahan di Belanda itu. Ini termasuklah, perbezaan iklim di Malaysia yang boleh mengurai organisme mikro dengan lebih cepat serta kapasiti loji rawatan di lokasi kajian.

“Kajian ini mungkin berguna dalam pemetaan kawasan coronavirus merebak, namun penyelidik perlu melihat kaedah dan lokasi persampelan sisa kumbahan itu supaya benar-benar mewakili populasi yang sedang dikaji dan bukan kajian sepintas lalu,” katanya. Tegasnya, kajian yang diusahakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air ini bukan satu keperluan mendesak. Katanya, ia lebih sesuai dijalankan apabila keadaan wabak ini mulai reda bagi mengelakkan persaingan dengan keperluan analisa makmal bagi sampel sedia ada. -BERNAMA  

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/680129/covid-19-kajian-sistem-kumbahan-boleh-bantu-kenal-pasti-kawasan

  • apwfmygovjpamscmampumofeperolehanspanjpp