red green blue contrast reset

facebook twitter instagram youtube rss

perutusan bm34 produk bm perisian bm
penyelidik bm awam bm warga bm aplikasimobil bm aplikasionline bm

Cetak

COVID-19: KAS kaji risiko virus dalam pembetung. Harakah Daily. 28 Mac 2020.

on . Posted in Keratan Akhbar 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar memandang serius keselamatan pembetungan berikutan penemuan genetik virus yang menyebabkan COVID-19 dalam sistem kumbahan di negara Belanda.

Menteri Alam Sekitar, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, sehubungan itu kajian segera akan dilakukan terhadap risiko kewujudan virus tersebut dalam sistem pembetungan di negara ini.

Beliau memetik laporan saintifik terkini oleh Institut Nasional Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (RVIM) di Belanda disebabkan najis pesakit yang dijangkiti COVID-19 disalurkan ke dalam sistem pembetungan awam.

Maklum beliau, Kementerian Alam Sekitar (KAS) akan berkerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Delft (TU Delft) Belanda untuk menjalankan kajian tersebut.

“KAS peka dengan perkembangan saintifik terhadap penularan pandemik COVID-19. Sehubungan itu saya ingin memaklumkan bahawa KAS akan mengendalikan kajian terperinci untuk memastikan sama ada bahan genetik virus COVID-19 boleh hidup dan membiak dalam sistem pembetungan awam.

“Selain itu, kajian ini juga untuk memastikan sama ada sampel kumbahan dalam sistem pembetungan boleh dijadikan indikator adanya pesakit COVID-19 di sesebuah kawasan. Kerjasama dengan UTM dan TU Delft itu dijangka akan dimulakan minggu depan.

“Ini untuk menentukan tahap risiko kesihatan bukan sahaja kepada warga kerja dalam industri pembetungan dan bekalan air, bahkan kepada mereka yang terlibat dengan pengurusan sumber air, begitu juga pengguna air keseluruhannya,” jelas beliau.

Katanya, kajian itu juga melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan syarikat pembetungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Jelas beliau juga, sistem pembetungan merupakan perkhidmatan penting (essential services) yang dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh yang demikian kemukanya, menjadi tanggungjawab KAS untuk memastikan risiko kesihatan dapat diminimumkan dalam kalangan warga kerja dalam industri pembetungan, bekalan air dan sumber air setiap masa.

Selain itu menurut kenyataan tersebut, pengecaman genetik juga boleh menjadi petunjuk dan boleh dibangunkan sebagai bioindikator mengenai wujudnya pesakit yang dijangkiti COVID-19 di sesebuah kawasan.

“Pada masa yang sama, KAS juga mengingatkan orang ramai bahawa pengendalian sistem pembetungan adalah perkhidmatan penting untuk melestarikan alam sekitar dan kesihatan awam. Orang ramai juga tidak perlu bimbang tentang keselamatan kualiti pembekalan air minum.

“Ini kerana, menurut WHO, proses penurasan (filtration) dan pembasmian kuman/virus yang dijalankan di loji rawatan air memadai untuk membunuh virus COVID-19 melalui proses pengklorinan (chlorination) yang digunakan untuk pembasmian kuman atau virus.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah badan kawal selia sektor air negara sejak 2006 dan IWK, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan adalah pemegang konsesi perkhidmatan pembetungan di Malaysia sejak 1993,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 28/3/2020

SUMBER: https://harakahdaily.net/index.php/2020/03/28/covid-19-kas-kaji-risiko-virus-dalam-pembetung/

  • apwfmygovjpamscmampumofeperolehanspanjpp