red green blue contrast reset

facebook twitter instagram youtube flickr rss

perutusan bm34 produk bm perisian bm
penyelidik bm awam bm warga bm aplikasimobil bm aplikasionline bm

Cetak

"Kita akan tanam 80 juta pokok sehingga 2019" - Palanivel - Oktober 2014

on . Posted in Keratan Akhbar 2014

 

"Kita akan tanam 80 juta pokok sehingga 2019" - Palanivel

"Kita akan tanam 80 juta pokok sehingga 2019" - Palanivel
PALANIVEL: "Kita akan tanam 80 juta pokok sehingga 2019" - Gambar fail
CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kini mensasarkan penanaman sebanyak 80 juta pokok di seluruh negara selepas Kempen Menanam 26 Juta Pokok melebihi sasaran.

Menterinya Datuk Seri G.Palanivel berkata sebanyak 53.13 juta pokok telah ditanam di seluruh negara dengan anggaran keluasan 65,559 hektar sejak kempen berkenaan bermula dari tahun 2010 sehingga Disember 2013.

Oleh yang demikian, 30 juta pokok lagi akan ditanam dalam tempoh lima tahun akan datang dan ia sekaligus melengkapkan sasaran baharu penanaman sebanyak 80 juta pokok.

"Penanaman 30 juta pokok itu yang telah bermula tahun ini akan menumpukan kawasan antaranya yang mengalami penerokaan tanah secara melampau, hutan terosot, pantai dan perbandaran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kerjasama Strategik Penanaman Pokok di Cameron Highlands, di Hutan Simpan Terla B di sini hari ini.

Beliau berkata penanaman 30 juta pokok itu akan melibatkan penyertaan pelbagai pihak terutama badan bukan kerajaan, syarikat korporat serta seluruh lapisan masyarakat.

Terdahulu dalam ucapannya, Palanivel berkata disebabkan tekanan arus pembangunan, keperluan tanah di Cameron Highlands untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas semakin meningkat.

"Permintaan yang tinggi terhadap kawasan pertanian di sini menyebabkan berlakunya pembukaan tanah secara berterusan sehingga menceroboh kawasan Hutan Simpan Kekal dan hutan tanah negeri," katanya.

Beliau berkata selain daripada usaha pemuliharaan, kementerian juga mengambil inisiatif untuk meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan.

"Pasukan Penguatkuasaan Berpusat (CET) yang ditubuhkan 12 Julai tahun lepas kini melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang," katanya.

Palanivel yang turut melancarkan sistem e-LPS hari ini berkata sistem urusan pemberian lesen pendudukan sementara (LPS) itu telah ditambah baik bagi membantu pihak berkuasa melaksanakan pemantauan dan pembangunan tanah bagi tujuan pertanian.

Katanya selain itu pusat arahan Pasukan Penguatkuasaan 1NRE yang turut digerakkan oleh beberapa agensi juga berperanan melaksanakan rondaan dan pemantauan udara secara berkala di lokasi yang dikenal pasti.

Program Kerjasama Strategik Penanaman Pokok di Cameron Highlands dilaksanakan sebagai satu tanggungjawab sosial korporat oleh tujuh syarikat iaitu Tesco Malaysia, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd, Petronas, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad, Golden Ecosystem Sdn Bhd.

Program dipanggil "Cameron Highlands Dreams" itu menumpukan usaha penanaman pokok di kawasan yang telah diceroboh dan terosot yang melibatkan empat spesis pokok hutan iaitu Damar Minyak, Rhu Bukit, Podo dan Meranti Bukit kerana ia mampu mengadaptasi ekosistem pergunungan dan mencapai tumbesaran optimum.

Badan korporat yang bekerjasama dalam projek itu akan membiayai kos penyediaan anak pokok, kerja penanaman dan penyelenggaraan selepas ditanam bagi tempoh lima tahun mengikut keluasan yang ditetapkan.

Seluas 26 hektar akan ditanam dengan pokok berkenaan yang meliputi kawasan  Hutan Simpan di Terla B, Gunung Siku, Sungai Kial dan Ulu Bertam.

 

  • apwfmygovjpamscmampumofeperolehanspanjbajpp
  • logo-jataNREjasjbkjkptgjpswildlifejpsmjtlmjupemfrimjmginstun