Cetak

Air bawah tanah sebagai sumber baharu air negara - Ahmad Zahid. 25 Mac 2017.

on . Posted in Arkib Elektronik

Airbawahtanah2017

PORT DICKSON: Kerajaan bercadang untuk menjadikan air bawah tanah sebagai sumber baharu air negara. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumber air bawah tanah boleh dimanfaatkan dan dijadikan sebagai sumber air baharu negara ekoran peningkatan terhadap penggunaan air di negara ini. Beliau berkata, kajian menunjukkan terdapat kira-kira 3 trilion sumber air bawah tanah dan hanya 1.5 peratus daripadanya digunakan.

"Jumlah yang besar itu perlu dimanfaatkan dan dijadikan sebagai alternatif agar bekalan air negara terjamin,' katanya "Mustahil negara yang banyak sumber air tetapi menghadapi kekurangan air ... ertinya kita mempunyai kelemahan dari segi pengurusan air.

Sebagai pengerusi Majlis Sumber Air Negara, saya terpukul kalau ada negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kekurangan air ... ini adalah cabaran besar," katanya. Jelasnya, negara perlu keluar daripada kepompong lama dan meneroka suatu kaedah baharu seiring dnegan hasrat Malaysia untuk mencapai negara maju tiga tahun lagi. "Saya sempat mencatatkan apa yang disebutkan oleh Menteri tadi, maknanya air yang berada di bawah tanah boleh digunakan lagi bagi kegunaan sumber air negara.

"Saya ingin mencadangkan agar pengurusan dan penggunaan air bawah tanah ini dijadikan sumber air yang baharu," katanya. Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Hari Air Sedunia 2017 Peringkat Kebangsaan di Dataran Telok Kemang, Port Dickson petang Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengingatkan rakyat agar mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan air bagi memastikan kelestarian sumber air negara.

"Amalan penjimatan perlu bermula dari rumah serta institusi pendidikan dan tidak hanya dilakukan semasa berlaku krisis bekalan air." jelasnya.  

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/air-bawah-tanah-sebagai-sumber-baharu-air-negara-ahmad-zahid-136770