Cetak

MALAYSIA ADA 63.5 BILION METER PADU AIR BAWAH TANAH

on . Posted in Arkib Berita 2017

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak sepatutnya berdepan krisis bekalan air kerana negara memiliki kira-kira 63.5 bilion meter padu air bawah tanah atau air tanah. Simpanan yang banyak itu seharusnya digunakan kerajaan dalam usaha menangani masalah bekalan air bersih, terutama ketika berlaku musim kemarau atau pencemaran sungai. Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Dr Azuhan Mohamed, berkata kajian NAHRIM mendapati kualiti air tanah lebih bersih berbanding air permukaan (sungai atau empangan) kerana ditapis lapisan tanah, pasir dan batu, sebelum terkumpul di dalam bumi. Katanya, pihaknya juga mendapati air bawah tanah memiliki kualiti setaraf air mineral yang dibotolkan, kaya dengan galian (mineral) seperti kalsium, natrium, klorida, kalium, sulfat, magnesium dan bikarbonat.

 

dr.auzhan air bawah tanah 2017KETUA Pengarah Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Dr Azuhan Mohamed. - Foto Aswadi Alias

Malah, katanya, di sesetengah tempat, ia boleh diminum begitu saja tanpa perlu memprosesnya, namun sebagai syarat, pembekal air wajib membubuh klorin sebelum berbuat demikian. "Air tanah juga memiliki kurang sisa rawatan berbanding air permukaan yang mudah tercemar, sekali gus membolehkan kos merawatnya jauh lebih murah. Bekalan air tanah bersifat lestari kerana kurang dipengaruhi perubahan cuaca dan pengurusannya bersifat mesra alam sekitar.

"Air bawah tanah baik untuk kesihatan. Sebagai contoh, air telaga Zam-Zam boleh menyembuh pelbagai penyakit," katanya kepada BH. Azuhan berkata, NAHRIM beberapa kali terpanggil mengutarakan cadangan penggunaan air bawah tanah ini sebagai sumber alternatif, namun sikap terlalu bergantung dengan air sungai dan empangan, menyebabkan fungsinya seakan-akan terpinggir.

"Negara mencatatkan penggunaan air sebanyak 6.2 bilion meter padu setahun pada 2015 iaitu membabitkan kira-kira 17 juta meter padu sehari. Daripada jumlah itu, sebanyak 87 peratus adalah dari sungai, 16 peratus empangan, manakala 1.5 peratus air tanah.

"Bayangkan, kalau stok air bawah tanah itu digunakan, saya rasa kita tidak akan mengalami masalah atau terputus bekalan air terawat (bersih) ketika menghadapi krisis bekalan," katanya. Ditanya pengambilan air bawah tanah di Malaysia, Azuhan berkata, ia masih terkawal dan memerlukan lesen daripada kerajaan negeri serta membayar royalti. Katanya, statistik menunjukkan hanya Kelantan menjadikan air bawah tanah sumber air utama mereka iaitu kira-kira 170,000 meter padu sehari. Bagaimanapun Terengganu, Perlis, Pahang, Kedah, Sabah, Sarawak dan Labuan juga menggunakan air tanah, tetapi berskala kecil.

 air bawah tanah 2017 1ANTARA telaga pengumpul menegak (HCW) yang dibina bagi mengutip air bawah tanah di Bachok, Kelantan.

Sementara Selangor dan Perak menggunakan air bawah tanah untuk kegunaan industri. Beliau berkata, cadangan menggunakan air bawah tanah ini mendapat perhatian Akademik Sains Malaysia (ASM) yang membuat kajian pada 2010 berhubung krisis bekalan air ketika itu. "Hasil kajian ini, mendapati faktor cuaca yang melampau menjejaskan keupayaan sungai dan empangan dalam membekalkan air. Justeru, menjelang 2020 mereka minta kerajaan menggunakan kira-kira 20 peratus air bawah tanah bagi mengatasinya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan ALN Dynamic Sdn Bhd (ADSB), Mohd Ali Mohd Salleh, berkata telaga jejari menggunakan sistem penyusupan tebing sungai (RBF) dan telaga pengumpul menegak (HCW) adalah dua konsep yang dikenal pasti sesuai dan selamat bagi mengutip air bawah tanah di negara ini. Katanya, kedua-dua konsep berkenaan adalah mesra alam dan memerlukan kos yang rendah berbanding secara konvensional.

 air bawah tanah 2017 3TELAGA sistem penyusupan air tebing sungai dibina bagi mengepam air bawah tanah.

Malah, katanya, RBF paling mudah untuk mengekstrak air di bawah perut sungai walaupun air sungai cetek atau berlaku pencemaran di permukaan. "Air sungai yang meresap masuk ke kawasan air bawah tanah ini bersih kerana ia ditapis secara semula jadi menerusi batu dan pasir di dasar sungai. Jika perlu rawatan, ia terlalu minimum. "Tambahan pula kebanyakan muka sauk yang menempatkan pam konvensional akan tergantung apabila paras air sungai rendah. Ini menyebabkan air sungai gagal disedut ke pusat rawatan air dan penggunaan RBF adalah penyelesaiannya.

"Sementara HCW pula dibina di kawasan berpasir dan pada kedalaman yang sesuai mengikut kajian Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM). Ini secara tidak langsung mengekalkan pembangunan sumber air tanah yang mampan," katanya kepada BH.

Di Malaysia, ADSB bekerjasama dengan NAHRIM dalam melakukan siasatan dan pembangunan sumber air bawah tanah, selain melaksanakan kempen kesedaran kepada masyarakat dan media.

 air bawah tanah 2017 4AIR bawah tanah yang bersih dikumpul di dalam telaga utama sebelum dipam naik ke pusat rawatan.

INFO

Ketika ini, ADSB sudah membina HCW di Bachok, Kelantan dan RBF di Felda Bukit Sago, Pahang. Kos penggerudian air bawah tanah dan pembinaan struktur pam menelan belanja sekitar RM7-8 juta, berbanding empangan membabitkan ratusan juta. RBF dan HCW tidak memerlukan kawasan yang luas dan paling penting berkonsep kehijauan dengan mengekalkan alam sekitar.

Fakta nombor

  • 331 bilion meter padu air hujan di Semenanjung Malaysia pada 2016.
  • 170 bilion meter padu tersejat di udara.
  • 141 bilion mengalir ke sungai dan terus ke laut.
  • 19.6 bilion meter padu air masuk dalam bumi.

air bawah tanah 2017 5AIR bawah tanah yang bersih dikumpul di dalam telaga utama sebelum dipam naik ke pusat rawatan.

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/237483