SHAH ALAM - Sistem Penuaian Air Hujan (Spah) yang dibangunkan dengan kos RM288,000 pada Jun tahun lalu, mampu menjimatkan sehingga 30 peratus penggunaan air terawat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong Keat Ping berkata, usaha itu bertujuan memberi kesedaran dan galakan kepada jabatan kerajaan lain mencontohinya.

“Spah yang telah siap di Dewan Jubli Perak, SUK ini mempunyai kapasiti sebanyak 100 meter padu dengan keupayaan sebanyak 75 peratus.

"Ia mampu menampung penggunaan air di enam tandas di dewan ini dengan anggaran penggunaan air sebanyak 146 meter padu dalam sebulan.

“Sumber air janaan Spah ini sesuai untuk kegunaan pembersihan lantai dan tanaman landskap, dalam usaha mengurangkan pengguaan air terawat," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian sistem itu oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali di Bangunan SUK, semalam.

Spah yang siap sepenuhnya pada 10 November lalu merupakan alternatif sistem kejuruteraan hidraulik melalui pendekatan mengguna semula air hujan untuk kegunaan bukan tujuan minuman.

Menurut Elizabeth Wong, sistem yang dilengkapi ciri-ciri perlindungan daripada penggunaan tenaga berlebihan itu dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim).

“Spah yang telah siap dibina di Dewan Jubli Perak ini akan digunakan sebagai bekalan untuk kegunaan enam buah tandas lelaki dan perempuan dan ia lengkap dengan ciri perlindungan tanpa menggunakan tenaga berlebihan. Dengan itu, penjimatan
elektrik juga dapat dibuat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, selepas ini pihak berkuasa tempatan akan diwajibkan menggunakan sistem Spah.


Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/guna-spah-lebih-jimat-1.372305