Cetak

Lawatan Tinjauan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Oleh Ketua Pengarah NAHRIM. 29 Jun 2011.

on . Posted in Arkib Aktiviti 2011

 

      Satu lawatan yang diketuai oleh Ketua Pengarah NAHRIM, Ir. Hj. Ahmad Jamalluddin Bin Shaaban telah diadakan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor pada 29 Jun 2011. Sesi lawatan ini bertujuan untuk mendapat gambaran yang lebih dekat berkaitan operasi pelabuhan serta membincangkan peluang mengadakan kerjasama dalam aspek penyelidikan dalam pembangunan persekitaran PTP dengan mengambil kira keupayaan penyelidikan pusat-pusat kajian NAHRIM amnya serta keupayaan Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI) dalam menjalankan ujian fizikal di persekitaran pantai dan pelabuhan.

      Lawatan ini turut disertai oleh Ir. Hj. Mohd Fauzi Mohamad (Pengarah MHI), En. Ahmad Rizal Khalit (Pengarah Bahagian Perancangan dan Penilaian) dan beberapa pegawai kanan dan pegawai teknikal MHI yang lain. Pihak PTP diwakili oleh En. Ir. Muhammad Wilson Abdullah (Pengurus Besar Kanan Bahagian Projek), Ir. Juraimi Masood (Pengurus Besar Bahagian Projek), Kapten Chong Lai Po (Pengurus Besar Bahagian Marin dan HSE), En. Saiful Azham Abdul Rahman (Pegawai Kanan Koperasi Korporat) dan Pn. Rafidah Mohd Ali dari wakil Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).

      Semasa sesi taklimat oleh pihak PTP, kehadiran pihak NAHRIM amat dialu-alukan oleh kerana NAHRIM merupakan satu-satunya institusi penyelidikan di Malaysia yang berkaitan terus dalam bidang pelabuhan yang bersamaan dengan agensi antarabangsa seperti Danish Hydraulic Institute (DHI), Denmark dan HR Wallingford, UK. Dalam taklimat tersebut, pihak PTP menjelaskan kronologi pembangunan berperingkat di dalam kawasan PTP seluas 3,500 ekar. Buat masa ini PTP mempunyai dermaga sepanjang 4.5 kilometer yang berkemampuan memuat naik dan memuat turun 9 juta TEUs kontena setahun. Dengan keupayaan tersebut, PTP telah menaiki tangga pelabuhan tersibuk di dunia dari ke 120 kepada ke 17.

      Satu taklimat juga telah diberikan oleh pihak NAHRIM sebelum lawatan sekitar pelabuhan dijalankan untuk memberi penerangan ringkas mengenai kemudahan dan peralatan di MHI serta bidang penyelidikan berkaitan pantai dan pelabuhan yang telah dijalankan.

      Pihak PTP merasakan penglibatan pihak NAHRIM boleh diusahakan dalam rancangan pembangunan masa hadapan PTP. Di antara cadangan-cadangan bidang usahasama penyelidikan yang berpotensi adalah:
          (i)pembangunan dari aspek operasi ‘Mooring’ kapal-kapal bersaiz besar,
          (ii)peluasan jarak ‘Turning Basin’ bagi kapal-kapal bersaiz besar,
         (iii)pembangunan data hidrodinamik bagi jangka masa panjang dan;
         (iv)impak persekitaran saluran Sungai Pulai untuk jangka masa panjang.

PTP1 PTP2
Taklimat dari pihak PTP mengenai operasi dan pembanguan pelabuhan.

Taklimat dari pihak NAHRIM mengenai bidang penyelidikan dan pembangunan NAHRIM dan MHI.

PTP3 PTP4
Taklimat di tapak oleh PTP mengenai projek pembangunan dan lokasi pokok bakau.

Pemandangan dermaga utama PTP yang telah beroperasi.

PTP5 PTP6
Deligasi NAHRIM bersama para pegawai PTP dan LPJ.

Majlis penyampaian cenderamata di antara pihak PTP dan pihak NAHRIM.