Cetak

Lawatan ke Institute of Water Modelling (IWM) Users’ Conference, Dhaka, Bangladesh. 6 - 8 Disember 2012.

on . Posted in Arkib Aktiviti 2012

    Pada 6 hingga 8 Disember 2012, Ketua Pengarah NAHRIM, Ir. Hj. Ahmad Jamalluddin bin Shaaban bersama Pengarah Pusat Kajian Pantai, Ir. Hj. Mohd Radzi bin Abd. Hamid telah menghadiri IWM Users’ Conference 2012, bertemakan ‘Challenges of Water and Environment’ yang diadakan di Dhaka, Bangladesh. Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Hj. Ahmad Husaini bin Sulaiman juga telah turut serta dalam persidangan ini.

    Persidangan ini yang telah dihadiri hampir 500 peserta yang kebanyakannya pernah terlibat dalam pelbagai fasa pembangunan dan pengurusan air di Bangladesh termasuk jemputan dari beberapa negara yang pernah bekerjasama dengan IWM selama ini.
 
    Menteri Sumber Air Bangladesh iaitu Mr. Ramesh Chandra Sen telah dijemput untuk merasmikan Persidangan ini dan Prof. Dr. M. Monowar Hossain, Pengarah Eksekutif IWM telah menyampaikan ucap utamanya. Tujuan utama persidangan ini adalah untuk bertemu, berbincang dan bertukar idea antara pihak IWM dan semua pelanggan serta pengguna yang telah banyak menyumbang dalam penggunaan aplikasi model matematikal sebagai kaedah menyokong untuk membuat keputusan di dalam pelbagai fasa pembangunan serta pengurusan sumber air. Pihak IWM juga ingin mendapat maklum balas berhubung perkhidmatan yang telah diberikan selama ini untuk tujuan penambahbaikan sekiranya perlu pada masa hadapan.
 
    Ketua Pengarah NAHRIM telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Collaboration Training Between NAHRIM and IWM’. Dalam kertas kerja berkenaan Ketua Pengarah NAHRIM telah menyenaraikan bidang kerjasama yang pernah dijalankan sehingga kini serta turut menyampaikan penghargaan terhadap sumbangan, kerjasama dan bimbingan dari pihak IWM semenjak tahun 2002 di dalam kerja-kerja penyelidikan, perundingan dan juga di dalam pembangunan modal insan pegawai. Suatu sesi makan malam serta perbincangan khas berhubung cadangan MOU antara IWM dan NAHRIM juga sempat diatur bersama dengan pihak pengurusan atasan IWM.
 
dhaka6_8Dis
Di pintu masuk Dewan Persidangan Pengguna IWM (kiri)
dan perbincangan berkaitan cadangan MOU antara IWM dan NAHRIM (kanan).
 

dhaka_1_6_8Dis

Ketua Pengarah NAHRIM sedang membuat pembentangan (kiri)
dan lawatan ke Expo Digital World 2012 di Dhaka , Bangladesh (kanan).